JUST IN

Tujuh pemain warisan dibenar beraksi sementara, CAS tangguh hukuman FIFA

by | Jan 27, 2026 | Sports

Keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) yang membenarkan Penangguhan Pelaksanaan terhadap hukuman penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya disifatkan sebagai satu perkembangan melegakan buat pemain terbabit dan penyokong bola sepak tanah air.

Melalui keputusan interim itu, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel kini dibenarkan menyertai semula latihan serta perlawanan kompetitif sementara menunggu keputusan penuh rayuan mereka di CAS.

Reaksi positif segera dizahirkan oleh beberapa pemain menerusi platform media sosial masing-masing. Holgado dalam satu hantaran di Instagram menyatakan bahawa keputusan tersebut hadir pada waktu yang amat bermakna selepas melalui tempoh mencabar.

“Ketika segalanya kelihatan gelap, sinar kembali muncul. Tidak ada badai yang berkekalan,” katanya.

Palmero pula menyuarakan keterujaan untuk kembali ke padang dengan mesej ringkas, mencerminkan semangat pemain-pemain berkenaan untuk menyambung karier bola sepak mereka.

Bagi Garces, keputusan itu membuka laluan untuk beliau kembali menyertai sesi latihan bersama kelab Sepanyol, Deportivo Alaves, selepas sebelum ini digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Dalam pada itu, penyokong tempatan turut menyambut baik perkembangan tersebut yang dianggap penting dalam memastikan momentum skuad kebangsaan tidak terjejas menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada Mac depan.

Pada 26 Sept lalu, FIFA mengumumkan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama tujuh pemain warisan berkenaan didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

Hasil siasatan mendapati dokumen yang dikemukakan bagi mengesahkan status kelayakan pemain terbabit dipercayai tidak sah, sehingga membolehkan mereka beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 pada Jun lalu.

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan. Rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 Nov lalu bagaimanapun ditolak, mendorong FAM membawa kes berkenaan ke CAS.

-THE MALAYSIA VOICE

GAMBAR-HIASAN-kredit-Malaysia-NT.jpg