JUST IN

Kes Rex Tan cetus polemik politik dan persoalan penguatkuasaan

by | Jan 21, 2026 | National, News, Opinions

OLEH: AMIRUDDIN AHMAD TAJUDDIN

Penahanan bekas wartawan portal Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, mencetuskan perdebatan hangat apabila beliau dikaitkan dengan dakwaan menghina negara dan memainkan naratif bahawa kaum Cina teraniaya di Malaysia, seolah-olah menyamakan kedudukan mereka dengan penduduk Palestin di Gaza.

Naratif tersebut secara tidak langsung menggambarkan orang Melayu sebagai pihak yang bersikap seperti Israel. Namun, tindakan polis menahan Tan segera menerima reaksi pantas daripada pemimpin-pemimpin DAP yang tampil membela beliau, sehingga menimbulkan persepsi bahawa seorang pesalah kini diangkat sebagai ‘hero’ oleh parti tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, dalam kenyataan medianya menyifatkan penahanan Tan di bawah Akta Hasutan 1948 sebagai tidak perlu dan tidak seimbang dengan kesalahan yang didakwa.

“Tan telah mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan telah meletakkan jawatan daripada FMT. Beliau juga telah dibebaskan daripada tahanan polis. Sukar untuk melihat bagaimana kenyataannya boleh mencetuskan ketakutan atau perpecahan kaum memandangkan beliau segera memohon maaf,” katanya.

Ramkarpal menegaskan bahawa Akta Hasutan merupakan undang-undang drakonian yang menafikan hak untuk didengar, sambil menambah bahawa Pakatan Harapan perlu konsisten dengan komitmen reformasi untuk memansuhkan undang-undang lapuk tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, turut menggesa agar Rex Tan dibebaskan serta-merta daripada tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tan telah memohon maaf secara terbuka, mengakui kesilapannya, menzahirkan penyesalan serta menyatakan kesediaan penuh untuk memberikan kerjasama kepada pihak polis. Dalam keadaan ini, penahanan beliau adalah bersifat menekan dan represif,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan menahan Tan selepas tengah malam, sejurus beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, adalah tidak wajar dan mencerminkan pendekatan yang menekan.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, pula mendakwa tindakan terhadap Rex Tan mencerminkan amalan standard berganda dalam penguatkuasaan undang-undang.

“Ramai tokoh politik lain yang mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman tidak pernah ditahan walaupun laporan polis dibuat terhadap mereka,” katanya ringkas.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, Rex Tan telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapannya diambil. Telefon bimbit dan kad SIM milik Tan turut dirampas bagi membantu siasatan.

Peguam Rex Tan, Rajsurian Pillai, mengesahkan bahawa anak guamnya dibebaskan sekitar jam 1.15 tengah hari.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pula menjelaskan bahawa siasatan masih berjalan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas lengkap.

“Prinsip kebebasan bersuara rakyat Malaysia mesti dihormati, namun kebebasan itu perlu disertai dengan rasa tanggungjawab, khususnya dalam kalangan pengamal media,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa organisasi media FMT sendiri telah menjarakkan diri daripada kenyataan Tan dengan menyatakan ia tidak mencerminkan pendirian syarikat.

Pembebasan Rex Tan pada hari Ahad menimbulkan persoalan besar dalam kalangan masyarakat, termasuk mengapa beliau dibebaskan begitu cepat dan siapakah yang mengarahkan pembebasan tersebut.

Bagi sesetengah pihak, tindakan pantas pemimpin DAP sebagai ‘abang besar’ dalam Kerajaan Perpaduan membela Tan dilihat seolah-olah memberi tekanan kepada pihak berkuasa, sehingga polis dan Menteri Dalam Negeri terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi.

Kes ini kini menjadi perhatian umum kerana menyentuh isu besar, termasuk ketelusan penguatkuasaan undang-undang dan amalan standard berganda terhadap individu berbeza.

Kes Rex Tan memperlihatkan bagaimana isu undang-undang boleh dengan pantas bertukar menjadi polemik politik. Tiga pemimpin DAP tampil membela beliau dengan naratif yang konsisten, iaitu menolak Akta Hasutan, menekankan prinsip kebebasan bersuara dan mendakwa wujudnya standard berganda.

Strategi ini bukan sahaja dilihat sebagai usaha membela seorang wartawan, malah mengukuhkan imej parti sebagai juara reformasi dan kebebasan, namun dilihat seolah-olah hanya terpakai apabila melibatkan kaum Cina.

Namun, tindakan pantas tersebut turut menimbulkan persepsi bahawa tekanan politik mampu mempengaruhi keputusan pihak berkuasa. Pembebasan segera pada hari Ahad mencetuskan tanda tanya sama ada pihak polis diberi ruang bebas untuk menyiasat atau terpaksa tunduk kepada desakan politik.

Kes Rex Tan berpotensi menjadi simbol pertentangan antara idealisme reformasi dan realiti kuasa politik. Jika Kerajaan Perpaduan dilihat gagal menegakkan prinsip ketelusan dan keadilan, ia berisiko kehilangan kepercayaan rakyat.

Apa yang berlaku terhadap Rex Tan mencerminkan dilema besar negara dalam menyeimbangkan kebebasan bersuara dengan tanggungjawab sosial, tugas polis serta tekanan politik.

Malaysia kini berdepan persoalan kritikal sama ada undang-undang digunakan secara adil, atau masih menjadi alat politik yang menekan pihak tertentu.

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

GAMBAR-HIASAN-imej-janaan-AI-1.png