Perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2026 yang sepatutnya menjadi kemuncak kejohanan bola sepak benua itu bertukar menjadi episod penuh kekecohan apabila dibayangi bantahan pemain, keputusan pengadil yang dipertikai serta pergaduhan penyokong di Stadium Prince Moulay Abdellah, Rabat baru-baru ini.
Dalam aksi dramatik tersebut, Senegal berjaya menewaskan tuan rumah Maghribi 1-0 untuk menjulang trofi kejuaraan. Namun kemenangan itu hampir tenggelam di sebalik suasana tegang dan huru-hara yang meletus pada penghujung perlawanan.
Pertemuan akhir itu menemukan dua pasukan terbaik Afrika – Maghribi sebagai tuan rumah dan pilihan utama, manakala Senegal hadir dengan reputasi sebagai juara edisi 2021. Kedua-dua pasukan diperkuat barisan bintang dunia termasuk Sadio Mane yang mengetuai Senegal dan Achraf Hakimi memimpin cabaran Maghribi.
Walaupun permainan bermula agak perlahan, ketegangan mula memuncak menjelang minit-minit akhir apabila Senegal menyangka mereka telah memperoleh gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi jaringan Ismaïla Sarr.
Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila pengadil Jean-Jacques Ndala membatalkan gol berkenaan selepas mendapati berlaku kekasaran oleh Abdoulaye Seck terhadap Hakimi dalam gerakan tersebut. Keputusan itu mencetuskan kemarahan pemain Senegal yang merasakan ia terlalu keras dan tidak wajar.
Keadaan bertambah panas beberapa minit kemudian apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Maghribi selepas insiden kekasaran melibatkan El Hadji Malick Diouf dan Brahim Diaz. Walaupun pada awalnya tidak diberikan, keputusan itu dibuat selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Keputusan penalti tersebut menyalakan api kemarahan kem Senegal. Jurulatih Senegal, Pape Thiaw, bersama pemain dan pegawai pasukan meluahkan bantahan secara terbuka sehingga mengganggu kelancaran permainan.
Keadaan di stadium semakin tidak terkawal apabila sebahagian penyokong Senegal turut bertindak agresif, cuba memasuki padang sebelum dihalang pasukan keselamatan.
Dalam tindakan luar biasa, Thiaw mengarahkan pemainnya keluar padang sebagai tanda protes. Sebahagian pemain mematuhi arahan itu manakala yang lain, diketuai Mane, memilih untuk kekal bagi menenangkan keadaan.
Selepas perbincangan singkat dengan bekas pemain Senegal, El Hadji Diouf, Mane dilihat berlari ke terowong pemain untuk memujuk rakan sepasukannya kembali ke padang. Perlawanan hanya disambung semula selepas tertangguh kira-kira 14 minit.
Ketika sepakan penalti akhirnya diambil, Diaz yang memikul tanggungjawab itu gagal menyempurnakannya. Cubaan ‘Panenka’ yang lemah mudah diselamatkan penjaga gol Senegal, Édouard Mendy – satu detik yang dianggap sebagai kesilapan besar dalam karier pemain Real Madrid itu.
Perlawanan kemudian berlanjutan ke masa tambahan sebelum Senegal akhirnya memperoleh gol kemenangan menerusi rembatan padu Pape Gueye.
“Sadio (Mane) meminta kami kembali fokus. Selepas Mendy menyelamatkan penalti, kami bangkit semula, kekal tenang dan akhirnya menjaringkan gol kemenangan,” kata Gueye selepas perlawanan.
Di luar padang, insiden kecil terus berlaku termasuk pertelingkahan di kawasan media dan kekecohan antara pegawai pasukan.
Jurulatih Maghribi, Walid Regragui menyifatkan adegan yang berlaku sebagai ‘memalukan’, manakala penganalisis bola sepak Afrika melihat ia sebagai kemuncak rasa tidak percaya yang telah lama membelenggu bola sepak benua tersebut.
Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) dalam satu kenyataan pada Isnin mengecam sekeras-kerasnya tingkah laku tidak profesional pemain dan pegawai sepanjang perlawanan akhir.
“CAF sedang meneliti semua rakaman kejadian dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang didapati bersalah,” menurut badan induk itu.
Presiden FIFA Gianni Infantino yang turut hadir menyaksikan perlawanan mengutuk tindakan meninggalkan padang dan keganasan penyokong.
“Keputusan pengadil mesti dihormati. Tindakan meninggalkan padang serta kekecohan di stadium adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam sukan ini,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Maghribi dilaporkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang berhubung tindakan Senegal meninggalkan padang yang didakwa menjejaskan rentak permainan.
Jurulatih Senegal, Thiaw pula berdepan kemungkinan dikenakan hukuman kerana mengetuai protes tersebut dan gagal menghadiri sidang media selepas perlawanan akibat kekecohan berterusan.
Walaupun Senegal akhirnya dinobatkan sebagai juara, malam bersejarah itu akan lebih diingati sebagai final AFCON paling kacau dalam sejarah – satu penamat suram bagi kejohanan yang sepatutnya diraikan sebagai pesta bola sepak Afrika.
-THE MALAYSIA VOICE






