OLEH: WAN JEBAT
Keputusan Real Madrid menamatkan khidmat Xabi Alonso sebagai ketua jurulatih disifatkan mengejutkan ramai pihak, namun hakikatnya langkah itu telah lama dijangka oleh pemerhati bola sepak sejak awal musim, susulan cabaran besar yang dihadapi bekas pemain tengah legenda itu dalam mengendalikan skuad penuh bintang kelab gergasi Sepanyol berkenaan.
Xabi Alonso bukanlah nama asing dalam dunia kejurulatihan. Beliau tiba di Santiago Bernabeu dengan reputasi tinggi selepas mencipta sejarah bersama Bayer Leverkusen apabila membawa kelab itu menjuarai Bundesliga, sekali gus menamatkan dominasi panjang Bayern Munich.
Lebih mengagumkan, kejayaan tersebut diraih tanpa sebarang kekalahan, satu pencapaian yang meletakkan Alonso sebagai antara pengurus muda paling berbakat di Eropah ketika itu.
Kehebatan tersebut mendorong Real Madrid, bekas kelab yang pernah diwakilinya sebagai pemain, untuk mempercayakan beliau mengemudi pasukan yang dihimpunkan dengan pemain bertaraf bintang dunia. Ramai menjangkakan Alonso mampu meneruskan konsistensi dan sentuhan magisnya seperti yang ditampilkan di Jerman.
Namun, realiti di Madrid ternyata berbeza. Walaupun prestasi pasukan secara keseluruhan boleh dianggap baik, ia gagal mencapai tahap dominasi yang pernah ditunjukkan Alonso bersama Leverkusen. Lebih ketara, beliau dilihat berdepan kesukaran mengurus pemain yang sudah memiliki status bintang, berbanding pemain yang masih dahagakan kejayaan dan peningkatan diri.
Sepanjang tempoh kendaliannya, pendekatan taktikal Alonso yang terperinci dan berintensiti tinggi dilaporkan tidak sepenuhnya diterima oleh sebahagian pemain. Minat beliau terhadap analisis mendalam, sesi video perlawanan dan perincian taktikal dianggap bertentangan dengan kehendak segelintir pemain yang lebih gemar pendekatan santai, asalkan pasukan mencatat kemenangan dan meraih tiga mata.
Situasi itu dikatakan mewujudkan perpecahan dalaman dengan kem sokongan terhadap Alonso dan kem yang kurang senang dengan kaedahnya. Keadaan tersebut menyukarkan lagi usaha beliau untuk mengawal bilik persalinan dan menerapkan falsafah permainan sepenuhnya.
Pemerhati bola sepak berpandangan Alonso bukan gagal dari segi keupayaan, sebaliknya berdepan ketidakserasian dengan sistem kerja dan budaya kelab. Jika ada kekhilafan, ia mungkin keputusan untuk menerima cabaran di Real Madrid terlalu awal, sebelum profil kejurulatihannya cukup kukuh bagi mengendalikan pemain bertaraf bintang secara menyeluruh.
Walau apa pun, Alonso kekal dilihat sebagai jurulatih berpotensi besar dan dijangka mampu bangkit semula, khususnya jika diberi kepercayaan penuh oleh kelab yang sanggup memberi ruang dan masa untuk melaksanakan proses pembinaan pasukan secara menyeluruh.
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)






