JUST IN

KPM mulakan kajian menyeluruh terhadap kemungkinan UPSR dan PT3 diadakan semula

by | Jan 12, 2026 | Education, National, News

Kementerian Pendidikan (KPM) akan menjalankan kajian menyeluruh tahun ini berhubung kemungkinan mengembalikan semula dua peperiksaan utama negara, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan oleh Jemaah Menteri.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata proses penilaian itu memerlukan sedikit masa kerana ia melibatkan penelitian terhadap pelbagai aspek termasuk keberkesanan sistem pentaksiran sedia ada serta pandangan pemegang taruh utama, khususnya ibu bapa dan pendidik.

Menurut beliau, mandat rasmi untuk melaksanakan kajian tersebut telah diserahkan kepada Majlis Penasihat Pendidikan, selain input awal daripada peringkat KPM yang telah pun dihimpunkan.

“Kita sedang dalam fasa kajian dan mandat itu telah diberikan kepada Majlis Penasihat Pendidikan. Hasil kajian ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri secepat mungkin bagi membolehkan pertimbangan lanjut dibuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent Elmina di Selangor hari ini.

Fadhlina menjelaskan kajian berkenaan bukan semata-mata bertujuan untuk menilai semula pemansuhan UPSR dan PT3, sebaliknya juga mengambil kira pendekatan pentaksiran holistik yang kini dilaksanakan menerusi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Katanya, sistem semasa menekankan penilaian menyeluruh terhadap perkembangan murid, bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik berasaskan peperiksaan semata-mata.

“Apa yang kita lakukan sekarang ialah mendengar suara masyarakat, termasuk permintaan sebahagian ibu bapa yang mahu UPSR dan PT3 dikembalikan, serta menilai keberkesanan kaedah pentaksiran yang sedang berjalan,” katanya.

Beliau menambah, penjelasan terperinci akan diberikan kepada orang ramai selepas kajian lengkap disiapkan dan dipersembahkan kepada Jemaah Menteri.

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa keperluan untuk menghidupkan semula UPSR dan PT3 akan diteliti susulan pengaktifan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) pada tahun ini.

Untuk rekod, UPSR dimansuhkan mulai 2021 manakala PT3 dihentikan pada 2022, sebelum kedua-duanya digantikan dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah yang memberi fokus kepada pembangunan murid secara lebih menyeluruh.

-THE MALAYSIA VOICE

FOTO-David-Cheong.jpg