JUST IN

Langkah kanan beregu lelaki dan wanita negara di Terbuka Malaysia 2026

by | Jan 7, 2026 | Sports

Pasangan beregu utama lelaki dan wanita negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 dengan langkah kanan apabila masing-masing mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua pada aksi yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melengkapkan hari cemerlang buat kem Malaysia selepas menewaskan gandingan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith, 21-11, 21-19 pada perlawanan pusingan pertama.

Bekas juara dunia itu menguasai set pembukaan dengan selesa sebelum berdepan tentangan lebih sengit pada set kedua, namun kekal tenang untuk mengesahkan kemenangan dalam dua set.

Aaron-Wooi Yik dijadual berdepan cabaran pemenang pertembungan antara pasangan China, Chen Xu Jun-Liu Yang, atau wakil Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han, pada pusingan kedua.

Sementara itu, beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah, tidak berdepan kesukaran untuk meneruskan kemaraan apabila menewaskan pasangan India, Rutaparna Panda-Swetaparna Panda, 21-11, 21-9.

Gandingan naib juara dunia itu mempamerkan permainan konsisten dan agresif sepanjang perlawanan bagi menamatkan perlawanan dalam tempoh singkat.

Kemenangan tersebut turut membawa makna besar buat Pearly-Thinaah apabila mereka berjaya menamatkan badi tersingkir awal di Terbuka Malaysia, selepas gagal melepasi pusingan pertama dalam tiga edisi terdahulu.

Menjelang aksi pusingan kedua yang dijadual berlangsung esok, Pearly-Thinaah bakal berdepan beregu Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, dalam usaha meneruskan rentak kemenangan di hadapan penyokong sendiri.

Secara keseluruhan, prestasi cemerlang wakil negara hari ini menyaksikan kesemua lima wakil Malaysia yang beraksi mencatat kemenangan, sekali gus memberi suntikan semangat menjelang saingan pusingan kedua yang akan berlangsung esok.

-THE MALAYSIA VOICE

foto-BAM.jpg