JUST IN

Tiga keputusan Harimau Malaya dibatalkan, FIFA tambah lagi denda FAM

by | Dec 17, 2025 | Sports

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima tamparan besar apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memutuskan Malaysia diisytiharkan kalah dengan jaringan 0-3 bagi tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 selepas didapati menurunkan pemain yang tidak layak.

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Pengerusinya, Jorge Palacio, pada 12 Disember lalu. FIFA mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) berkaitan kelayakan pemain.

Tiga perlawanan yang terlibat ialah aksi menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lalu yang sebelum ini berakhir seri 1-1; perlawanan menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September yang menyaksikan Harimau Malaya menang 2-1; serta pertemuan dengan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September yang dimenangi Malaysia 1-0.

Sehubungan keputusan itu, ketiga-tiga perlawanan berkenaan kini direkodkan sebagai kekalahan 0-3 kepada Malaysia. Selain itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (kira-kira RM51,414).

FAM dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan telah menerima keputusan rasmi berkenaan dan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan penuh keputusan Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum menilai langkah seterusnya, termasuk kemungkinan membuat rayuan atau tindakan pembetulan.

Hukuman terbaharu ini dijangka memberi kesan ketara kepada kedudukan Malaysia dalam ranking dunia FIFA berikutan potensi penolakan mata, sekali gus menjejaskan prestasi pasukan di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA menerbitkan laporan setebal 64 muka surat yang memperincikan sebab-sebab penolakan rayuan FAM dan tujuh pemain warisan, iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Keputusan itu menyaksikan FAM didenda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta), manakala ketujuh-tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan serta masing-masing dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000).

FAM sebelum ini turut mengesahkan telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bagi mencabar hukuman yang dikenakan oleh FIFA.

-THE MALAYSIA VOICE

foto-UM07.jpg