JUST IN

Skuad regu berpasukan sepak takraw Malaysia raih emas, tamatkan badi 34 tahun

by | Dec 15, 2025 | Sports

Skuad sepak takraw lelaki Malaysia akhirnya menamatkan penantian panjang selama 34 tahun untuk meraih pingat emas acara regu berpasukan Sukan SEA selepas menewaskan musuh tradisi, Thailand, dalam perlawanan final penuh dramatik di Pusat Sukan Perbandaran Nakhon Pathom, Thailand.

Kejayaan manis itu menyaksikan Malaysia menang 2-1 ke atas tuan rumah, sekali gus menamatkan kemarau emas sejak kali terakhir merangkul kejuaraan pada edisi Manila 1991 di Filipina.

Aksi final bermula dengan cabaran getir apabila regu pertama negara yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas tipis kepada gandingan Thailand, Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa dan Marukin Phanmakon, dalam pertarungan tiga set 9-15, 15-11, 13-15.

Bagaimanapun, kekalahan itu tidak melemahkan semangat pasukan negara. Regu kedua yang menampilkan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam bangkit dengan persembahan bertenaga untuk menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan 17-14, 15-13, sekali gus mengikat kedudukan 1-1.

Kemenangan Malaysia disahkan oleh regu ketiga menerusi Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi yang tampil tenang dan berdisiplin untuk menundukkan Kritnasanapong Nontakote, Varayut Jantarasena dan Wuttinun Kamsanor 15-13, 15-11.

Sorakan hampir 4,000 penyokong tuan rumah tidak menggugat fokus pemain Malaysia yang berjaya mengawal tempo permainan sehingga wisel penamat, sekali gus mencetuskan detik bersejarah buat kem negara.

Kejayaan anak buah jurulatih Ahmad Jais Baharun itu turut mengukuhkan status Malaysia sebagai antara kuasa besar sepak takraw Asia Tenggara. Ahmad Jais sendiri pernah merasai kejayaan emas dalam acara sama pada Sukan SEA 1991 ketika beliau masih bergelar pemain dan beraksi sebagai tekong.

Sementara itu, media Thailand menyifatkan kekalahan pasukan tuan rumah sebagai satu kejutan besar. Akhbar utama negara itu, The Bangkok Post, melaporkan keputusan tersebut mencemari hasrat Thailand untuk melepasi sasaran 100 pingat emas pada temasya kali ini.

Menurut laporan berkenaan, suasana di gelanggang yang pada awalnya gamat bertukar sunyi apabila Malaysia bangkit memenangi regu kedua dan ketiga, sekali gus menamatkan era penguasaan Thailand dalam acara regu berpasukan lelaki yang bermula sejak 1991.

-THE MALAYSIA VOICE

FOTO-PSM.jpg