Lando Norris menutup tirai musim Formula Satu (F1) 2025 dengan penuh bergaya apabila muncul juara dunia buat kali pertama selepas menamatkan Grand Prix Abu Dhabi di tempat ketiga, sekali gus mengesahkan gelaran yang menjadi idaman setiap pelumba.
Dalam perlumbaan di Litar Yas Marina itu, pemandu McLaren berusia 26 tahun berkenaan mengekori pemenang perlumbaan, Max Verstappen dari Red Bull, dan rakan sepasukan Oscar Piastri, namun keputusan tersebut sudah mencukupi untuk menghadiahkannya kejuaraan dengan kelebihan dua mata mengatasi Verstappen dan 13 mata di depan Piastri.
Kejayaan itu sekali gus menjadikan Norris pemandu McLaren pertama merangkul gelaran dunia sejak Lewis Hamilton melakukannya pada 2008, serta melengkapkan kejayaan berganda pasukan Britain itu yang turut mengungguli gelaran pengeluar musim ini, kali pertama sejak 1998.
Norris menyifatkan kejayaan itu sebagai kemenangan paling bermakna dalam kerjayanya, apatah lagi ia dicapai dengan mengekalkan prinsip pemanduan yang jujur dan adil sepanjang musim.
“Saya menang dengan cara yang saya mahukan, bukan dengan menjadi seseorang yang bukan diri saya. Saya menjadi pemandu yang adil dan jujur,” katanya yang mengakui ada ketikanya berpeluang bertindak lebih agresif tetapi memilih untuk kekal dengan identitinya sendiri.
Menurut Norris, detik menghampiri garisan penamat adalah saat paling mendebarkan walaupun beliau kelihatan tenang sepanjang perlumbaan.
“Saya rasa tenang sehinggalah tiga selekoh terakhir. Ketika itu tangan saya mula menggigil. Melihat pasukan selepas melintasi garisan penamat merupakan detik yang saya tidak akan lupakan,” katanya.
Musim ini menyaksikan laluan penuh cabaran buat Norris, termasuk kemalangan, pertarungan sengit dalam pasukan dan kebangkitan semula selepas ketinggalan 34 mata di belakang Piastri pada Ogos susulan masalah mekanikal di Zandvoort.
Norris berkata kegagalan itu menjadi pencetus untuk beliau memperkemas pendekatan, termasuk membawa masuk beberapa anggota baharu dalam pasukannya.
Kemenangan itu turut mendapat pujian rakan-rakan sepelumbaan. George Russell, rakan seperjuangan Norris sejak kategori junior, berkongsi ucapan tahniah dan menyifatkan gelaran itu amat layak buatnya.
“Kami sudah berlumba sejak kecil. Dia memang layak. Harap kami dapat bersaing untuk gelaran 2026,” katanya.
Sementara itu, Verstappen terpaksa melepaskan takhta selepas empat tahun menguasai kejuaraan dunia sejak 2021, walaupun memenangi perlumbaan terakhir musim ini.
Bagi Norris, selain bergelar juara dunia, apa yang lebih bermakna ialah kejayaan itu menggembirakan semua yang menyokongnya sejak awal.
“Saya bangga bukan kerana saya boleh bangun esok dan berkata ‘saya kalahkan semua orang’. Saya bangga kerana saya dapat membuatkan ramai orang gembira,” katanya.
Dengan gelaran dunia pertama dalam genggaman dan McLaren kembali sebagai kuasa besar F1, musim 2026 dijangka membuka lembaran baharu yang lebih mencabar dan penuh harapan buat Norris serta seluruh pasukannya.
-THE MALAYSIA VOICE






