JUST IN

Lori Tipper menggelongsor, dua terbunuh di Sarawak

by | Dec 4, 2025 | National, News

Dua lelaki maut selepas treler yang mereka naiki dihempap kenderaan berat yang sedang diangkut dalam insiden di persimpangan Jalan Miri Bypass, lewat petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Melintang Mamuwas, 55, pemandu treler dan kelindannya Tan Gawan, 44, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.20 petang.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati bahagian atas kabin treler remuk teruk akibat dihempap kenderaan berat yang menggelongsor, menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang,” katanya.

Beliau berkata, pintu treler terpaksa dibuka bagi memberi akses kepada pasukan perubatan untuk melakukan pemeriksaan, sebelum kedua-dua mangsa disahkan sudah tidak bernyawa.

“Pasukan bomba kemudian mendapatkan bantuan kren untuk mengangkat kenderaan yang menghempap treler tersebut sebelum mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang membawa sebuah lori jenis Tipper berhenti di lampu isyarat di Jalan Pujut 1B, berdekatan Bulatan Saberkas.

“Lori Tipper yang diangkut dipercayai tiba-tiba melurut ke hadapan lalu menghempap bahagian kabin treler terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian.

-THE MALAYSIA VOICE

foto-tular.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES