JUST IN

Ibarat filem ‘No More Bets’, mangsa dedah kekejaman sindiket scam di Kemboja

by | Dec 3, 2025 | National, News

Seorang ahli perniagaan Malaysia mendedahkan pengalaman ngeri yang dilaluinya selepas menjadi mangsa sindiket penipuan di Kemboja, menggambarkan suasana di pusat operasi itu yang seakan-akan adegan dalam filem jenayah ‘No More Bets’.

Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah, 40, berkata dirinya ditelanjangkan, dipukul oleh sekumpulan tujuh hingga lapan individu dan dipaksa menurut arahan tanpa bantahan sebaik tiba di lokasi berkenaan, selepas diperdaya dengan tawaran untuk membuka restoran di luar negara.

“Setibanya saya di situ, mereka terus memaksa saya berbogel dan memukul saya tanpa belas kasihan. Tujuannya jelas, untuk membuat saya tunduk dan tidak melawan,” katanya pada sidang media di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.

Menurut beliau, tempoh hampir sebulan berada di lokasi itu bukan sahaja penuh dengan penderaan fizikal, malah turut menyaksikan tekanan mental yang berterusan. Beliau dipaksa bekerja sebagai operator scam tanpa gaji dan dihidangkan makanan termasuk daging babi hampir setiap minggu.

Menceritakan permulaan insiden, Muhammad Syafiq berkata beliau berlepas ke luar negara pada 27 Oktober untuk meninjau peluang membuka restoran seperti yang dijanjikan rakan yang dikenalinya sejak 12 tahun lalu. Namun, ketika transit di Bangkok, pasportnya dirampas oleh seorang ejen sebelum dibawa ke Kemboja melalui laluan tikus yang dikawal askar upahan.

“Sebaik memasuki kawasan itu, saya melihat ramai lagi rakyat Malaysia mengalami nasib yang sama, termasuk wanita. Kami dipaksa bekerja antara 12 hingga 15 jam sehari,” ujarnya, yang ditugaskan dalam unit penipuan dalam talian menyasarkan rakyat Singapura.

Beliau akhirnya berjaya diselamatkan dan pulang ke Malaysia pada 27 November selepas isterinya membayar wang tebusan sebanyak RM6,000.

Muhammad Syafiq mendakwa kawasan operasi yang dikenali sebagai ‘perkampungan scammer’ itu menempatkan lebih 700 rakyat Malaysia di bahagiannya sahaja, manakala secara keseluruhan, lebih 3,000 mangsa berusia lingkungan 16 hingga 35 tahun berada dalam kawalan sindiket.

“Lebih mengejutkan, sindiket ini didalangi oleh rakyat Malaysia sendiri yang menjalankan operasi secara terancang di sana,” katanya.

Sementara itu, Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa kerajaan bertindak segera bagi membawa pulang ribuan rakyat Malaysia yang masih terperangkap di negara berkenaan.

“Jumlah 3,000 orang ini bukan kecil. Kerajaan perlu menggunakan saluran diplomatik atau apa sahaja mekanisme yang sesuai untuk memastikan mangsa dibawa pulang,” katanya.

Beliau turut mendedahkan PPIM menerima laporan lebih berat, termasuk kes wanita tempatan yang dikatakan menjadi mangsa rogol bergilir-gilir dan ada yang terperangkap hampir setahun.

-THE MALAYSIA VOICE

PPIM-pc-kemboja-scam.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES