OLEH: MUHAMMAD AZMI JAMALUDIN
Pelancaran rasmi kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua, QV-E, baru-baru ini menarik perhatian ramai, khususnya pengguna setia jenama itu yang selama lebih dua dekad menganggap Perodua sebagai pengeluar kereta mampu milik untuk rakyat, termasuk golongan B40. Namun, tinjauan terperinci terhadap struktur harga dan komitmen bulanan mendapati model tersebut tidak berada dalam lingkungan kemampuan kumpulan berpendapatan rendah itu.
QV-E ditawarkan pada harga sekitar RM80,000, tidak termasuk kos sewaan bateri. Walaupun pada zahirnya dilihat sebagai EV Perodua yang ‘mampu milik’, komitmen bulanan sebenar menunjukkan sebaliknya.
Ansuran bulanan cecah RM1,400
QV-E hadir dengan model langganan bateri yang memerlukan pengguna membayar RM275 sebulan selama sembilan tahun. Apabila digabungkan dengan ansuran kereta, jumlah keseluruhan komitmen bulanan dianggarkan mencecah RM1,312 hingga RM1,400.
Ini tidak mengambil kira kos insurans EV yang secara umumnya lebih tinggi berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman. Angka tersebut menjadikan QV-E berada di luar jangkauan majoriti B40, selain membebankan sebahagian besar M40.
Pendapatan minimum sesuai RM6,500 sebulan
Menurut prinsip kewangan asas, ansuran kereta tidak seharusnya melebihi 10 peratus daripada pendapatan bulanan. Berdasarkan garis panduan itu, pengguna memerlukan pendapatan sekurang-kurangnya RM6,500 sebulan untuk menampung komitmen QV-E tanpa menjejaskan kesejahteraan kewangan isi rumah.
Secara realistik, model ini lebih sesuai untuk individu berpendapatan RM6,500 ke atas, isi rumah berpendapatan RM10,000 ke atas serta pengguna yang bersedia menanggung komitmen jangka panjang
Kriteria ini menjadikan QV-E lebih dekat dengan kumpulan M40 atas atau T20, bukannya B40.
Sewa bateri komitmen berterusan
Model langganan bateri yang diterapkan pada QV-E turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna berpendapatan rendah. Walaupun pinjaman kereta selesai, bayaran sewa bateri tetap perlu diteruskan selagi kenderaan digunakan.
Ini bermakna komitmen kewangan tidak akan berhenti walaupun usia kereta meningkat sehingga 8 atau 10 tahun. Keadaan itu dilihat tidak selari dengan keutamaan B40 yang lazimnya memilih kereta tanpa komitmen tambahan selepas pinjaman selesai.
Dilengkapi ciri keselamatan dan teknologi premium
QV-E dibangunkan sebagai EV spesifikasi tinggi dalam rangkaian Perodua. Antara ciri utama ditawarkan ialah kuasa 201 hp, jarak pemanduan 445 km (NEDC), sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) generasi baharu, Child Presence Detector serta fungsi Emergency SOS yang bersambung terus ke MERS999.
Ciri-ciri berkenaan meletakkan QV-E dalam segmen pengguna yang menitikberatkan aspek keselamatan dan teknologi, berbanding golongan yang mengutamakan kereta paling jimat dan kos penyelenggaraan paling rendah.
eMas 5 dilihat lebih menepati kategori ‘EV rakyat’
Dalam konteks kemampuan dan nilai praktikal, Proton eMas 5 ketika ini dilihat lebih memenuhi kriteria EV mampu milik untuk rakyat. Dengan harga bawah RM70,000 serta anggaran ansuran bulanan RM700 hingga RM900, model itu turut menawarkan bateri milik sendiri selepas pinjaman selesai.
Struktur pemilikan yang lebih ringkas dan komitmen lebih rendah meletakkan eMas 5 sebagai pilihan lebih sesuai untuk pengguna B40 dan M40 rendah yang mahu beralih kepada penggunaan EV.
Kesimpulannya, QV-E merupakan model EV yang menawarkan prestasi tinggi, teknologi moden dan tahap keselamatan premium. Namun dari sudut kemampuan kewangan, model ini bukan pilihan realistik bagi golongan B40.
Dengan komitmen bulanan hampir RM1,400, QV-E lebih sesuai untuk pengguna berpendapatan stabil dan tinggi. Buat masa ini, Proton eMas 5 dilihat lebih menepati ciri-ciri sebagai ‘EV rakyat’ berbanding Perodua QV-E.
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)






