OLEH: WAN JEBAT
Pendedahan beberapa operasi besar-besaran di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang baru-baru ini menimbulkan kebimbangan mendalam mengenai kewujudan rangkaian aktiviti tidak bermoral yang berselindung di sebalik pusat kesihatan dan spa.
Dalam dua serbuan berasingan, pertama di ibu negara, pihak berkuasa menahan seramai 201 lelaki, termasuk 17 penjawat awam, di sebuah premis dua tingkat di Jalan Raja Laut yang dilengkapi gimnasium, sauna, kolam mandi dan ruang rehat yang dipercayai digunakan sebagai lokasi perhubungan terlarang.
Walaupun 171 lelaki dalam serbuan ini dibebaskan kerana kegagalan memenuhi keperluan teknikal permohonan reman, pendedahan bahawa pusat berkenaan dikendalikan secara tertutup, mempromosikan operasi melalui media sosial dan mengenakan caj khas kepada pelanggan menimbulkan persoalan serius tentang bagaimana premis seperti ini mampu beroperasi berbulan-bulan tanpa dikesan.
Ia bukan lagi isu pembabitan individu tertentu, sebaliknya mencerminkan wujudnya satu ekosistem tersusun yang bergerak di luar kawalan regulatori.
Di Pulau Pinang pula, 11 lelaki, termasuk remaja dan warga emas, serta dua pengusaha premis turut diberkas dalam serbuan sebuah bangunan tiga tingkat di Bandar Perai Jaya. Pihak berkuasa turut merampas kondom, pelincir, telefon bimbit mengandungi video lucah serta beberapa peralatan lain, menguatkan lagi dakwaan bahawa premis berkenaan berfungsi sebagai lokasi untuk aktiviti luar tabii secara komersial.
Tindakan undang-undang bukan sahaja dikenakan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, malah tujuh daripada mereka disiasat kerana memiliki bahan lucah, manakala dua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen.
Siri pendedahan ini wajar menjadi amaran serius bahawa kegiatan sebegini tidak berlaku secara terpencil. Ia berkembang melalui kelemahan penguatkuasaan, ruang yang diberikan oleh pemilik premis, dan ketirisan pengurusan digital yang membenarkan promosi terselindung menerusi aplikasi serta media sosial.
Masyarakat tidak boleh memandang enteng kewujudan premis-premis seperti ini kerana ia membuka ruang eksploitasi, pemerdagangan, peras ugut, isu kesihatan awam serta risiko keselamatan kepada pelanggan dan komuniti setempat.
Selari dengan itu, beberapa langkah perlu dipertingkat. Pihak berkuasa tempatan perlu mengetatkan sistem pelesenan premis kesihatan, manakala polis dan jabatan agama wajar memperluas risikan terhadap platform digital yang mempromosikan aktiviti terlarang.
Pemilik bangunan juga mesti memikul tanggungjawab undang-undang jika membiarkan premis mereka dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, pindaan prosedur siasatan perlu dipertimbang supaya kes tidak tergantung semata-mata kerana ketiadaan ‘mangsa’ seperti yang berlaku dalam serbuan 171 orang di Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, pendidikan awam berfokuskan tanggungjawab sosial, keselamatan diri dan risiko jenayah harus diperkasa agar masyarakat tidak terjerumus ke dalam ruang gelap yang mengundang bahayanya tersendiri.
Pendedahan demi pendedahan kebelakangan ini jelas menunjukkan bahawa pembanterasan kegiatan ini memerlukan kerjasama semua iaitu penguat kuasa, pihak berwajib, komuniti digital dan semua masyarakat sebelum ia menjadi lebih parah dan tidak lagi terkawal.
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)






