Kemenangan tipis 1-0 ke atas Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi belum cukup untuk meredakan keresahan yang melanda kem Harimau Malaya susulan kontroversi isu dokumentasi pemain yang terus menghantui peluang negara ke pusingan akhir.
Gol tunggal jaringan Faisal Halim pada minit ke-55 memastikan Malaysia mengekalkan rekod bersih lima kemenangan dan terus berada di tangga teratas Kumpulan F dengan 15 mata penuh.
Namun, di sebalik kejayaan di padang, skuad negara kini berdepan kebimbangan besar seandainya keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) kelak tidak memihak kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang menjadi punca rayuan FAM ditolak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) boleh mengakibatkan hukuman berat, termasuk pemotongan mata atau pembatalan kemenangan Malaysia dalam beberapa aksi terdahulu.
Hukuman itu bukan sahaja menjejaskan kedudukan kumpulan, malah boleh menutup terus pintu Malaysia ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Faisal, atau lebih mesra disapa Mickey, mengakui tekanan yang dirasakan pemain amat besar, namun mereka tetap berusaha untuk kekal fokus terhadap tugasan di padang.
“Saya tak tahu nak kata apa. Kalau benda itu berlaku, sudah tentu kami akan kecewa sebab kami dalam momentum yang baik. Kami menang semua perlawanan dan masih ada satu aksi penutup bertemu Vietnam pada Mac depan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
“Sebagai pemain, kami mahu beraksi di peringkat tertinggi. Apa pun keputusan nanti, kami kena beri yang terbaik dan teruskan perjuangan untuk pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Kemenangan ke atas Nepal itu sekali gus menjarakkan Malaysia dengan enam mata di hadapan Vietnam yang masih mempunyai satu perlawanan berbaki menentang Laos.
Namun, masa depan Harimau Malaya bergantung sepenuhnya pada keputusan ‘pertarungan terakhir’ di CAS, yang bakal menentukan sama ada skuad negara kekal sah memimpin Kumpulan F atau sebaliknya berdepan nasib sama seperti Timor Leste, yang pernah digantung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas didapati memalsukan dokumen pemain.
Jika dua kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam dibatalkan serta mata diberikan kepada lawan, Malaysia hampir pasti tersingkir daripada slot ke Piala Asia meskipun menamatkan saingan sebagai pendahulu kumpulan.
Dengan tekanan luar padang dilihat lebih hebat daripada cabaran di atas padang, semua pihak kini perlu bersedia menerima apa jua kemungkinan sambil terus berharap agar rayuan terakhir FAM di CAS membawa sinar baharu buat Harimau Malaya.
-THE MALAYSIA VOICE






