JUST IN

Pengiktirafan ‘City of Design’ bukti Kuala Lumpur hab kreatif serantau

by | Nov 5, 2025 | National, News

Kuala Lumpur kini secara rasmi diiktiraf sebagai ‘City of Design’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sekali gus menempatkan ibu negara Malaysia sebaris dengan bandar kreatif dunia seperti Seoul, Bandung dan Singapura.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan baru-baru ini berkata, pengiktirafan itu merupakan pencapaian penting yang mengiktiraf usaha berterusan bandar raya ini dalam menjadikan kreativiti, inovasi dan reka bentuk sebagai teras kepada pembangunan lestari.

“Pengiktirafan ini menegaskan komitmen Kuala Lumpur untuk memanfaatkan reka bentuk dalam membentuk bandar yang inklusif, berdaya tahan dan kaya budaya, seiring dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) dan aspirasi Warisan KL,” menurut kenyataan itu.

DBKL menjelaskan bahawa kejayaan tersebut adalah hasil usaha bersama antara kerajaan, komuniti kreatif, institusi akademik dan industri reka bentuk yang telah membangunkan ekosistem reka bentuk dinamik di ibu negara.

Sebagai ‘City of Design’, Kuala Lumpur akan terus menarik pelaburan dan bakat dalam sektor reka bentuk serta ekonomi kreatif, memperkukuh dasar perancangan bandar berasaskan reka bentuk dan kesejahteraan komuniti, serta menjalin kerjasama antarabangsa melalui rangkaian UNESCO Creative Cities Network (UCCN).

“Reka bentuk akan dijadikan pemangkin utama dalam pelbagai sektor termasuk perancangan, pembangunan, kebudayaan dan komuniti untuk membentuk bandar yang lebih mampan, inovatif dan berdaya huni,” menurut DBKL.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa DBKL komited untuk melaksanakan dasar awam dan pembangunan infrastruktur berasaskan reka bentuk bagi meningkatkan kualiti ruang awam serta memperkukuh pemuliharaan warisan bandar.

Dengan pengiktirafan ini, Kuala Lumpur menyertai rangkaian bandar UNESCO lain di Malaysia seperti George Town dan Melaka (Tapak Warisan Dunia), Ipoh dan Kuching (Bandar Kreatif), Langkawi (Geopark Global) serta Banjaran Crocker (Rizab Biosfera).

“Rangkaian ini mencerminkan komitmen negara dalam memelihara warisan, memacu inovasi dan memperjuangkan kelestarian. Secara keseluruhannya, pengiktirafan ini menandakan langkah besar Kuala Lumpur ke arah menjadi bandar kreatif bertaraf dunia yang hidup, disayangi dan digerakkan oleh reka bentuk,” katanya.

-THE MALAYSIA VOICE

KREDIT-FOTO-DBKL.jpg