Model sedan popular keluaran Malaysia, Perodua Bezza, kini mencuri tumpuan antarabangsa apabila digunakan sebagai kenderaan rasmi pasukan polis di Papua New Guinea (PNG).
Fenomena itu tular di media sosial selepas beberapa video dan gambar memaparkan barisan kereta Perodua Bezza berwarna putih dan biru lengkap dengan pelekat serta lampu siren Royal Papua New Guinea Constabulary (RPNGC) tersebar di platform TikTok dan Instagram.
Rakaman berdurasi 19 saat yang dikongsi pengguna TikTok dengan nama brittany.jane93 menunjukkan kenderaan tersebut dipandu keluar dari premis Perodua PNG Limited di Port Moresby, dipercayai sempena majlis penyerahan rasmi kepada pasukan polis negara itu.
Menurut laporan tempatan, antara 10 hingga 15 unit Perodua Bezza digunakan dalam penugasan baharu itu, menjadikan model sedan buatan Malaysia sebagai pilihan utama dalam operasi peronda di PNG.
Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, ketika ditemui media di Japan Mobility Show 2025 memaklumkan pihaknya berbangga apabila produk keluaran tempatan kini mendapat kepercayaan di pelbagai negara luar.
“Kami berasa bangga apabila negara seperti Papua New Guinea, Timor-Leste dan juga Surabaya di Indonesia memilih Perodua sebagai jenama dipercayai. Malah, digunakan sebagai kereta polis di beberapa tempat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa selain mengeksport kereta baharu, Perodua kini turut memperluas pasaran dengan mengeksport kenderaan terpakai ke Bangladesh, serta sedang meninjau peluang di Kenya dan Mozambique.
Justeru, penggunaan Perodua Bezza oleh pihak berkuasa luar negara itu telah mencetuskan rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia yang melihatnya sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap kejuruteraan dan kualiti automotif tempatan.
Dengan reputasi sebagai kereta ekonomi yang jimat bahan api, tahan lasak dan mudah diselenggara, Perodua Bezza terus membuktikan bahawa inovasi tempatan berpotensi besar menembusi pasaran global. Bahkan kini, berkhidmat menjaga keselamatan di bumi Papua New Guinea.
-THE MALAYSIA VOICE






