OLEH: WAN JEBAT
Filem ‘Malam Terlarang’ yang mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Oktober lalu muncul sebagai antara karya tempatan paling berani tahun ini apabila berjaya menggabungkan elemen mistik Nusantara, konflik keluarga dan kritikan sosial-politik dalam satu naskhah seram yang sarat makna.
Diarahkan oleh Nurhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu, filem terbitan Astro Shaw ini menampilkan barisan pelakon berpengalaman termasuk Zul Ariffin, Sofia Jane, Shasha Abedul, Sabri Yunus, Normah Damanhuri, Hasnul Rahmat, selain pelakon muda Aila Azizul, Haneesya Hanee serta Amir Nafis.
Berlatar tahun 1980-an, ‘Malam Terlarang’ membawa penonton ke dunia seorang gadis bernama Mawar (Shasha Abedul) yang terpaksa menangguhkan impian menjadi wartawan demi menjaga ibunya, Sarimah (Sofia Jane), selepas kematian kakaknya, Safar. Namun, tragedi itu membuka rahsia gelap keluarga mereka yang terpalit dengan amalan lama ritual puja pantai dan mitos dewi laut Pamakbul.
Dalam masa sama, bapanya Omar (Zul Ariffin), seorang ahli politik, berdepan tekanan kempen pilihan raya yang semakin meruncing. Gabungan kisah politik, spiritual dan konflik keluarga menjadikan filem ini bukan sekadar seram biasa tetapi juga sindiran terhadap kerakusan manusia bila ‘bertuhankan nafsu’.
Dari segi teknikal, Malam Terlarang memukau dengan sinematografi bergaya klasik, pencahayaan yang suram dan reka bentuk produksi yang menonjolkan suasana tahun 1987 secara autentik. Suara latar dan kesan bunyi turut memainkan peranan besar dalam menimbulkan rasa tegang dan ngeri tanpa perlu terlalu bergantung pada kesan khas berlebihan.
Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan yang ketara, antaranya ‘pacing’ cerita yang perlahan pada babak awal, serta penggunaan beberapa babak ‘jumpscare’ yang dianggap kurang perlu. Walau demikian, penonton tetap dihidangkan dengan pengakhiran yang mengejutkan dan ‘plot twist’ yang menyentuh persoalan moral serta kepercayaan manusia terhadap kuasa ghaib.
Dari aspek lakonan, Shasha Abedul menyerlah sebagai nadi utama cerita dengan persembahan emosi yang meyakinkan, manakala Sofia Jane kekal elegan dan berkarisma sebagai ibu penyayang yang sarat misteri. Watak Sabri Yunus sebagai Haji Mokhtar pula berjaya mencuri perhatian menerusi watak antagonis berlapis yang membawa mesej bahawa ‘manusia lebih jahat daripada hantu’.
Secara keseluruhan, Malam Terlarang bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi satu pemerhatian terhadap sisi gelap masyarakat di mana nafsu, kuasa dan dendam mampu menewaskan nilai kemanusiaan.
Dengan gabungan tema yang berani, visual yang kuat dan naratif yang matang, filem ini layak dianggap sebagai antara karya seram tempatan paling berkualiti tahun ini.
Cadangan untuk penonton: Disyorkan untuk mereka yang menggemari filem seram berlapis makna, bukan sekadar tontonan untuk ‘terkejut semata-mata’.
Penilaian keseluruhan: 8/10
Satu langkah yang dianggap menarik dari segi penceritaan budaya Nusantara di dalam filem ini ialah kemunculan watak Pamakbul, lakonan Sharifah Haneesya (Haneesya Hanee). Watak ini bukan sekadar diwujudkan untuk menakutkan penonton, tetapi turut membawa interpretasi lokal terhadap legenda dewi laut, yang sering dikaitkan dengan kisah Nyi Roro Kidul dari Jawa.
Bezanya, Pamakbul digambarkan berakar kuat pada budaya Melayu Malaysia, khususnya di Pantai Timur seperti Terengganu, di mana kepercayaan terhadap semangat laut dan ritual pemujaan masih wujud dalam kisah turun-temurun masyarakat setempat.
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)






