Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghormati keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang menolak rayuan berhubung hukuman terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya, namun tidak menolak kemungkinan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).
Pemangku Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata, keputusan yang diterima daripada FIFA itu mengejutkan pihaknya memandangkan ia merupakan kali pertama FAM berdepan situasi sebegini.
“FAM telah menerima keputusan rayuan daripada FIFA yang menolak permohonan kami. Kami akan menulis kepada FIFA bagi mendapatkan penjelasan penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil tindakan lanjut termasuk mengemukakan rayuan ke CAS,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pihak yang terlibat sambil memastikan integriti dan kepentingan bola sepak Malaysia terus dipelihara di peringkat antarabangsa.
Keputusan FIFA itu diumumkan selepas Jawatankuasa Rayuan badan induk dunia berkenaan bersidang di Miami, Amerika Syarikat, minggu lalu bagi meneliti rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan tujuh pemain terbabit.
Dalam keputusan muktamadnya, FIFA mengekalkan semua hukuman yang telah diputuskan sebelum ini, termasuk denda berjumlah CHF 350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM serta penggantungan selama 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Mereka ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano, yang turut diperintahkan membayar denda individu sebanyak CHF 2,000 (RM10,411) setiap seorang.
Siasatan FIFA sebelum ini mendapati pemain-pemain tersebut melakukan kesalahan pemalsuan dokumen bagi tujuan pendaftaran dan kelayakan bermain bersama skuad kebangsaan Malaysia.
FAM dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan penasihat undang-undang bagi meneliti semua aspek teknikal dan prosedur sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Walaupun keputusan ini amat mengecewakan, kami kekal berpendirian bahawa segala proses mesti dijalankan dengan adil. FAM akan memastikan hak semua pihak, khususnya para pemain, terus dipertahankan,” kata Mohd Yusoff.
Sementara itu, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim melalui hantaran di laman sosial baginda mengkritik keputusan yang dibuat FIFA dan nekad untuk membela nasib ketujuh-tujuh pemain warisan Harimau Malaya di peringkat pengadilan CAS.
“FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan, dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada para pemain.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan berhabis-habisan demi para pemain, yang kini akan diteruskan ke CAS – sebuah badan bebas,” titah Tunku Mahkota Ismail.
-THE MALAYSIA VOICE






