Penganjur kejohanan Warzone World Championship (WWC2025) mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekeliruan yang timbul ketika sidang media terbaharu mereka dan memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak yang terlibat, termasuk badan-badan sukan serta kementerian berkaitan.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, Warzone menzahirkan rasa kesal terhadap insiden yang menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, terutamanya melibatkan penonton bawah umur.
“Kami sedar akan kekhilafan yang berlaku dan menerima segala teguran dengan hati terbuka. Warzone komited memperbetulkan keadaan dan memastikan setiap penganjuran selepas ini mematuhi garis panduan rasmi,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah pembetulan, pihak Warzone memaklumkan bahawa penyertaan petarung bawah umur akan digantung sementara bagi memberi ruang kepada semakan menyeluruh aspek keselamatan, kawalan dan promosi acara.
Pihaknya juga akan memperkenalkan prosedur baharu dengan meletakkan syarat ketat terhadap penyertaan atlet dan ‘influencer fighter’, termasuk pematuhan kelayakan asas yang ditetapkan badan sukan rasmi seperti Persatuan Muay Thai Malaysia dan Malaysia Professional Boxing Federation (MPBF).
Warzone turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kerajaan Malaysia atas keprihatinan dan nasihat yang diberikan dalam menangani isu berkenaan.
Kenyataan itu menjelaskan bahawa Warzone diwujudkan untuk mengangkat sukan tempur ke tahap profesional dengan menyediakan platform yang selamat, sah dan beretika kepada petarung tempatan serta antarabangsa.
“Kami akan memastikan setiap acara selepas ini dijalankan secara profesional dan menepati nilai-nilai sukan sebenar, demi menjaga imej serta masa depan industri sukan tempur di Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.
-THE MALAYSIA VOICE






