JUST IN

Subsidi BUDI95 bersasar dimanfaatkan 13.1 juta penerima sepanjang Oktober 2025

by | Nov 3, 2025 | National, News

Sebanyak 1.33 bilion liter petrol RON95 bersubsidi dengan nilai jualan RM2.66 bilion telah dimanfaatkan oleh 13.1 juta penerima Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) setakat 31 Oktober lepas, mewakili kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan 16.5 juta rakyat yang layak menerima manfaat itu.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata angka tersebut menunjukkan pelaksanaan sistem penyasaran subsidi petrol berfungsi dengan baik dan diterima baik oleh majoriti pengguna.

“Setakat ini, dalam bulan pertama pelaksanaan BUDI95, sistem beroperasi dengan stabil serta tidak menimbulkan kerumitan atau barisan panjang di stesen minyak. Pengguna juga semakin biasa dengan penggunaan sistem ini,” katanya ketika menjawab soalan Chong Zhemin (PH–Kampar) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan secara berterusan bagi memastikan pelaksanaan program itu menjadi lebih menyeluruh, inklusif dan berkesan dalam menyalurkan manfaat kepada golongan sasar.

“Sebagai contoh, kerajaan telah menambah golongan pengguna bot sungai ke dalam pangkalan data penerima subsidi RON95, manakala pemandu e-hailing turut diberikan kelayakan tambahan bagi memastikan tiada kumpulan tercicir daripada menikmati manfaat tersebut,” katanya.

Menurut Lim, langkah penyasaran subsidi petrol itu selaras dengan matlamat utama BUDI MADANI, iaitu memastikan bantuan kerajaan diagihkan secara lebih tepat kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang benar-benar memerlukan.

Beliau menegaskan bahawa hasil positif yang dicatat dalam fasa awal pelaksanaan membuktikan pendekatan subsidi bersasar ini mampu mengurangkan ketirisan serta meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan.

-THE MALAYSIA VOICE

GAMBAR-HIASAN1-kredit-Petron-Malaysia.jpg