JUST IN

Anwar kecam Zionis label peserta GSF sebagai pengganas

by | Oct 3, 2025 | National, News

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak sekeras-kerasnya dakwaan rejim Zionis yang melabelkan aktivis dan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pengganas.

Beliau menyifatkan tuduhan itu tidak berasas serta merupakan propaganda untuk menutup kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.

“Peserta flotilla tidak membawa senjata atau melakukan keganasan. Mereka hanya menghantar bantuan makanan, minuman dan ubat-ubatan. Melabelkan mereka sebagai pengganas adalah satu kenyataan yang biadap,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam di Kuala Lumpur, hari ini.

Kenyataan Anwar itu menyusul selepas Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, dilaporkan menuduh peserta flotilla membawa bahan kimia berbahaya selain menyifatkan mereka sebagai pengganas.

Tuduhan tersebut tercetus apabila video yang tular di media sosial menunjukkan Ben-Gvir memasuki salah sebuah kapal flotilla serta membuat dakwaan berhubung penemuan bahan kimia.

Menurut Anwar, hakikat sebenar ialah rejim Zionis sendiri yang bertindak sebagai pengganas dengan terus menindas rakyat Palestin tanpa henti.

-THE MALAYSIA VOICE

Ben-Gvir-Zionis.jpg