Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua isu berbangkit berkaitan program Budi Madani RON95 (Budi95) diselesaikan segera bagi memastikan kumpulan sasar menerima manfaat tanpa kelewatan.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara perkara yang diberi perhatian ialah agihan kuota khas Budi95 untuk pemandu e-hailing, P-hailing, pemandu teksi, pengusaha bot nelayan di Sabah dan Sarawak, selain rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu Singapura.
“Kerajaan sedang membangunkan mekanisme khas bagi membolehkan pemegang lesen memandu Singapura turut menikmati subsidi Budi95,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Fahmi turut memaklumkan bahawa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencadangkan supaya kuota khas turut meliputi pemandu teksi, selain e-hailing dan P-hailing.
Beliau menambah, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah dijadual mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status terkini pelaksanaan Budi95 dalam masa terdekat.
Program Budi95 diperkenalkan kerajaan sebagai mekanisme pemberian subsidi bersasar bagi memastikan manfaat petrol RON95 dapat disalurkan dengan lebih adil kepada kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah, termasuk golongan yang bergantung kepada kenderaan sebagai punca pendapatan.
-THE MALAYSIA VOICE






