Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan Indonesia dengan keputusan FIFA menjatuhkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Erick, yang juga Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, menjelaskan bahawa pertemuan antara Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Presiden FIFA, Gianni Infantino di New York baru-baru ini hanya tertumpu kepada hal ehwal bola sepak tempatan dan pelan pembangunan masa depan sukan tersebut di Indonesia.
“Perbincangan Presiden adalah berkenaan kemajuan bola sepak Indonesia sahaja, bukan membabitkan mana-mana negara lain,” kata Erick dalam kenyataannya.
Menurutnya lagi, antara agenda yang dibincangkan dalam pertemuan itu adalah cadangan penubuhan Akademi FIFA di Indonesia dan pelaksanaan kejohanan bola sepak peringkat bawah 15 tahun dalam format lapan pemain sebelah.
“Indonesia tidak mencampuri urusan dalaman negara lain. Fokus kami adalah pada kemajuan bola sepak negara ini, selain terus memperkukuh sukan seperti badminton dan pencak silat di pentas dunia,” tambahnya.
Kenyataan itu hadir selepas FIFA mengenakan tindakan disiplin terhadap FAM dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) yang melibatkan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain yang didapati bersalah ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen tidak sah kepada FIFA sebagai sebahagian daripada proses pendaftaran pemain bagi aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
-THE MALAYSIA VOICE






