Operasi pengosongan 37 unit kediaman di Kampung Sungai Baru, di ibu negara, pagi tadi bertukar kecoh apabila beberapa individu dipercayai bertindak mencetuskan provokasi hingga mencederakan seorang pegawai kanan polis.
Dalam sidang media di lokasi, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan pihaknya telah menahan beberapa individu yang dipercayai terbabit. Menurutnya, mereka yang ditahan bukan penduduk asal kawasan berkenaan, sebaliknya dipercayai datang dari luar bagi mengambil kesempatan terhadap keadaan tegang di situ.
“Apabila operasi dijalankan secara aman, ada pula pihak tertentu yang memilih untuk bertindak di luar batas. Malah, Ketua Polis Daerah saya sendiri telah cedera akibat dibaling objek. Perkara ini amat serius dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya dengan nada tegas.
Mangsa yang dimaksudkan ialah Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman yang mengalami kecederaan di kepala. Beliau segera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Fadil menambah, kecederaan yang dialami Sulizmie kini sedang dikenal pasti tahapnya, namun beliau menegaskan insiden tersebut tidak akan menjejaskan kelancaran operasi.
“Sebagai komander operasi, cabaran ini adalah antara risiko yang terpaksa dihadapi. Rawatan telah diberikan, dan keadaan masih terkawal,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan untuk menimbulkan huru-hara.
“Saya tidak akan berkompromi. Individu yang terlibat dalam mencetuskan kekacauan atau mempunyai kepentingan tertentu akan berdepan tindakan undang-undang yang tegas,” ujarnya lagi.
Terdahulu, media melaporkan kekecohan berlaku apabila sekumpulan penduduk berkumpul untuk membantah tindakan pihak berkuasa yang sedang menjalankan operasi. Situasi memuncak selepas kumpulan itu merempuh kepungan polis hingga mencetuskan kekecohan.
Namun, keadaan kembali reda selepas pihak polis dengan bantuan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal situasi serta meminta orang ramai bersurai.
Setakat tengah hari tadi, operasi pengosongan masih diteruskan dan dijangka selesai menjelang petang. Pihak polis memberi jaminan keselamatan awam akan terus dipelihara sepanjang proses berlangsung.
-THE MALAYSIA VOICE






