OLEH: AZMY AWANG
Kita imbas kembali isu Edward Wong, remaja dari Pulau Pinang yang mendakwa enam universiti awam termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menolak permohonannya untuk jurusan perakaunan meskipun memperoleh PNGK 4.0, markah kokurikulum 9.9/10 dan merit 99.90 peratus.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang turut hadir dalam satu sidang media bersama-sama remaja berkenaan berkata, beliau dan partinya akan berusaha membantu Edward Wong demi menuntut keadilan.
Silapnya di mana? Silapnya apabila menggunakan saluran politik.
Silapnya apabila tidak terangkan dengan jujur keputusan STPMnya secara terperinci apabila hanya mendapat merit 99.90% berbanding dengan 1127 pemohon lain yang mendapat merit 100%.
Silapnya apabila dibandingkan subjek yang diambil untuk melayakkan beliau diterima ke jurusan akaun tidak relevan dengan pemohon lain yang jauh lebih relevan subjeknya. Contoh mudah, subjek yang senang berbanding dengan pesaing yang ambil subjek yang sukar dan mereka mendapat CGPA 4.0 juga.
Silapnya apabila mengadakan sidang media dan hanya bersandarkan CGPA 4.0 tanpa media mendapat maklumat yang sebenar dan akhirnya pelbagai ‘tajuk simpati’ keluar malah ada yang menggunakan ‘tajuk berbaur politik’ dan ‘tajuk mengundang kecaman kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan kerajaan’.
Dan jika Edward Wong tidak lakukan perkara di atas pun, UM tetap menolak permohonannya tetapi kesan kepada Edward tidaklah seteruk sehingga hari ini apabila KPT dedahkan dengan jujur bagaimana kedudukan meritnya.
Satu perkara yang pasti, Edward Wong mendapat tawaran di USM dengan jurusan yang selayaknya dan bukan tiada tempat langsung di universiti awam. Satu pengajaran berguna untuk semua.
Kepada adik Edward Wong, perjalanan anda masih panjang dan peluang untuk berjaya di bumi ini begitu luas. Bumi ini ada berkahnya.
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)






