JUST IN

Inkues Zara Qairina: Patung anatomi jadi tumpuan di mahkamah

by | Sep 4, 2025 | National, News

Sebuah patung anatomi manusia mencuri perhatian di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini, apabila ia dibawa masuk oleh pasukan peguam dalam prosiding inkues kematian tragis remaja berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.

Inkues yang kini memasuki hari kedua, menyaksikan Pakar Patologi dari Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr. Jessie Hiu, menyambung keterangannya sejak jam 9 pagi.

Dalam keterangannya sebelum ini, Dr. Jessie memaklumkan bahawa kecederaan yang dialami mangsa adalah konsisten dengan kejadian jatuh dari tempat tinggi. Beliau turut menegaskan bahawa adalah mustahil kejadian itu berlaku akibat terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari koridor tingkat tiga asrama sekolah.

Zara Qairina ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama tersebut pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia.

Bagi membantu penerangan yang lebih terperinci, peguam pembela yang mewakili lima pelajar perempuan tertuduh tampil membawa masuk sebuah patung anatomi manusia ke dalam mahkamah. Alat bantu visual itu digunakan untuk menunjukkan dengan lebih tepat lokasi serta jenis kecederaan yang dialami oleh mangsa.

Dr. Jessie merupakan salah seorang daripada empat pakar forensik yang melakukan bedah siasat ke atas mayat Zara Qairina. Keterangannya dianggap antara yang paling penting dalam menentukan punca sebenar kematian pelajar berkenaan.

Inkues ini dijadual berlangsung selama 19 hari, dengan objektif mengenal pasti sama ada terdapat kecuaian, penglibatan pihak ketiga, atau unsur jenayah dalam insiden menyayat hati ini.

Beberapa saksi pakar lain juga dijangka tampil memberi keterangan sepanjang tempoh prosiding yang akan berlangsung hingga hujung bulan ini.

-THE MALAYSIA VOICE

patung-prosiding-Zara-Qairina.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES