Cukup sekadar elemen ganas pada watak Kahar dan filem High Council, kerana “apa yang mereka lihat, mereka tiru” telah dibuktikan melalui eksperimen Bobo Doll.
Dalam eksperimen psikologi klasik Bobo Doll oleh Albert Bandura, 72 kanak-kanak dibahagi kepada tiga kumpulan iaitu pertama, kumpulan menonton orang dewasa memukul, menendang dan menjerit pada patung badut (Bobo Doll).
Kumpulan kedua pula menonton orang dewasa bermain secara sopan. Manakala, kumpulan ketiga tidak menonton apa-apa.
Keputusannya jelas, kanak-kanak yang melihat model agresif meniru aksi ganas yang sama, malah menambah gerakan pukulan baru. Jika model itu kelihatan berkuasa atau mendapat pujian, kesan tiruan menjadi lebih kuat.
Inilah yang membimbangkan bila kita bercakap tentang filem seperti Kahar dan High Council. Lebih 40% babaknya adalah pergaduhan fizikal. Bukan sekadar tolak menolak tetapi memaparkan buli keterlaluan di mana mangsa dipukul bertubi-tubi sehingga jatuh longlai.
Dalam siri dan filem tersebut, pelajar sekolah berlawan ala permainan video, siap ‘flying kick’ dan darah membuak keluar dari mulut. Pemenang menjadi ketua pelajar atau Kapla dipamerkan seolah-olah tindakan itu lambang kekuatan dan kuasa.
Babak-babak sebegini memberi mesej yang salah bahawa untuk dihormati di asrama, seseorang perlu menjadi pembuli.
Sama seperti fenomena filem ‘rempit’ dahulu, apa yang diglamorkan di layar akan diulang di dunia sebenar. Korea Selatan juga pernah berdepan lonjakan kes buli selepas drama keganasan sekolah meletup di negara itu.
Oleh itu, mesej tegas yang harus disampaikan kepada pembikin filem tentulah hentikan menjadikan buli sebagai tarikan utama. Jika mahu paparkan buli, pastikan bingkai moralnya jelas: pembuli tidak dipuja, mangsa tidak diperlekeh, akibatnya ditunjukkan secara nyata.
Jika hendak bikin filem juga, eloklah diwajibkan penilaian skrip oleh pakar psikologi pendidikan.
Kahar dan High Council sudah cukup. Kita tidak perlukan lagi ‘manual’ visual untuk melahirkan ketua geng baru di sekolah. Filem boleh menghibur dan mendidik tanpa memuja kekejaman.
SUMBER: Public Health Malaysia






