OLEH: DINIE LIOW
Baru-baru ini dunia digemparkan dengan berita yang begitu aneh, di mana pasangan dari negeri Ohio, AS (Amerika Syarikat) melahirkan seorang bayi yang mana embrio yang disenyawa telah dibekukan sejak tahun 1994!
Bayi itu diberi nama Thaddeus Daniel Pierce dan ibunya bernama Lindsey Pierce begitu berbangga kerana kelahiran anaknya yang telah dibekukan selama tiga dekad seperti babak filem sains fiksyen!
Timbul persoalan yang berlegar di minda kita sebagai penerima berita baru ini. Bagaimana bayi yang belum keluar dari rahim ibu boleh dibekukan dulu dalam tempoh masa yang sangat lama? Adakah terdapat teknik-teknik tertentu atau fenomena semula jadi yang berupaya berbuat sedemikian tanpa kita sedar?
Sebenarnya, ada kisah menarik bagaimana Thaddeus boleh ‘dibekukan’ sebelum bersedia lahir di dunia ini. Asalnya pasangan bernama Linda Arched dan suaminya mahu melakukan in vitro fertilisation (IVF) pada bulan May 1994, setelah enam bulan mereka berdua sukar dapatkan bayi pertama.
Dari IVF, empat embrio yang disenyawa telah dihasilkan di luar rahim dan satu embrio telah berjaya dilahirkan dalam rahim Arched, membawa kepada seorang anak perempuan yang berusia 30 tahun. Manakala tiga lagi embrio telah dibekukan.
Apabila pasangan Arched telah berpisah, Linda tidak mahu membuang embrio miliknya dibuang. Maka, dia menderma tiga embrio kepada agensi embrio angkat, iaitu agensi yang menerima embrio beku dan berikan kepada pasangan angkat yang rela menerima demi dapatkan anak pertama.
30 tahun kemudian, salah satu embrio beku milik Linda akhirnya diberikan kepada pasangan Pierce, kemudian lahirnya Thaddeus yang digelar sebagai bayi tertua yang berusia 30 tahun, jika dikira dari tempoh masa embrio dibekukan!
Setelah 47 tahun bermula dari kewujudan IVF dan lahirnya bayi hasil pemprosesan IVF bernama Louise Brown yang lahir pada bulan Julai 1978, seramai 13 juta bayi telah dilahirkan melalui proses tersebut, termasuklah bilangan bayi dari program embrio angkat.
Sebenarnya, pembekuan embrio yang disenyawa membuatkan kita terfikir tentang elemen sains fiksyen berkenaan usaha untuk kekalkan populasi manusia dengan menggunakan teknologi-teknologi sains yang melampaui akal fikiran kita.
Contohnya cryonics, proses pembekuan manusia jika fenomena yang tidak terjangka berlaku. Prosesnya ialah membekukan manusia dengan rendahkan suhu dalam peti, kemudian peti berisi manusia beku akan dibiar tidak dibuka sehinggalah seseorang akan membuka dan berusaha hidupkan semula manusia beku itu.
Dalam kes pembekuan embrio, mungkin kita boleh anggap ia sebagai ‘cryonics kecil’ tapi berjaya, cuma perlukan rahim seorang ibu saja untuk melahirkan bayi baru. Mungkin proses cryonics yang dianggap fiksyen boleh berjaya suatu hari nanti!
SUMBER: The Patriots






