JUST IN

FAM atur Harimau Malaya lawan Singapura, Palestin September ini

by | Jul 24, 2025 | Sports

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa skuad kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya, sebagai tuan rumah akan menganjurkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad Singapura dan Palestin di Kuala Lumpur sempena jendela FIFA pada bulan September 2025.

Harimau Malaya dijadualkan menentang seteru tradisi serantau, Singapura pada 4 September, diikuti oleh perlawanan menentang Palestin pada 8 September. Kedua-dua aksi ini akan berlangsung di Kuala Lumpur, memberi peluang kepada para penyokong untuk hadir menyaksikan sekali gus memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan di halaman sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan Malaysia, Rob Friend berkata, FAM amat berbesar hati kerana berjaya mengatur dua perlawanan berkualiti.

“Ia merupakan peluang luar biasa untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri di Kuala Lumpur. Singapura membawa cabaran serantau yang kompetitif dan penuh sejarah, manakala Palestin pula merupakan lawan taktikal yang berbeza serta merupakan pasukan yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia mengikut ranking FIFA.

“Kedua-dua perlawanan ini akan menjadi medan penting untuk menambah pengalaman serta memperkukuh kualiti pasukan kami,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengulas mengenai penarikan diri Malaysia daripada Piala Negara-Negara CAFA, Friend memaklumkan bahawa keputusan untuk menarik diri daripada kejohanan CAFA dibuat secara terperinci dan berpandukan pertimbangan strategik.

“Kami turut bekerjasama rapat dengan pihak CAFA bagi membantu mengenal pasti pengganti yang sesuai. Kami percaya adalah penting untuk bertindak secara profesional dan berintegriti demi memelihara hubungan baik dalam komuniti bola sepak antarabangsa,” jelasnya.

Maklumat lanjut berkaitan waktu sepak mula dan pembelian tiket akan diumumkan dalam masa terdekat.

-THE MALAYSIA VOICE

Harimau-Malaya-kredit-foto-Malaysia-NT.jpg