OLEH: SI ABANG LONG
Memang sedih bila tengok filem dengan kos besar macam Keluang Man (RM13 juta) terkial-kial nak capai kutipan hanya RM2.3 juta (kemaskini terbaharu ialah RM3.7 juta).
Jauh beza dengan filem Ejen Ali 2 yang terbang tinggi mengutip RM55 juta!
Keluang Man mungkin hero di hati golongan 80-an dan 90-an, generasi yang kini bergelar ibu bapa. Seminggu dua sebelum tayang, media sosial ‘riuh’ dengan perkongsian memori, dan laungan “Keluang Man is back!”.
Kononnya ini hero yang ditunggu-tunggu, pak cik dan mak cik gigih bercerita tentang zaman muda mereka dengan kartun Keluang Man. Tapi sayangnya ‘riuh’ itu tak dibawa ke pawagam, kerusi lebih banyak kosong daripada orang.
Mana perginya semua ‘peminat setia’ yang riuh rendah itu? Di alam ghaib kah?
Realitinya, komitmen dewasa seperti kesibukan kerja, kekangan kewangan dan kurangnya masa lapang menjadi penghalang untuk melangkah ke pawagam.
Perbincangan di media sosial itu sekadar nostalgia dan modal borak, bukan tanda sokongan tulus yang diterjemahkan kepada ‘kutipan tiket’.
Berbeza sungguh dengan Ejen Ali. Peminat utamanya adalah kanak-kanak dan remaja bawah 15 tahun, hero yang sebati dan popular dengan zaman mereka.
Di sinilah terletaknya ‘kuasa pujuk rayu’ yang tiada pada Keluang Man. Apabila anak-anak ini minat, mereka akan menarik ibu bapa mereka ke pawagam.
Meskipun ibu bapa mungkin kurang minat pada mulanya, mereka tetap akan menemani anak-anak sekaligus menjadi aktiviti berkualiti untuk keluarga juga.
Ini secara tidak langsung melipatgandakan jualan tiket. Daripada satu tiket menjadi bertiket-tiket.
Nampak gayanya, nostalgia tak cukup kuat untuk menarik orang dewasa ke panggung, tetapi pujukan anak-anak adalah magnet paling kuat.
-THE MALAYSIA VOICE
(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)