JUST IN

Kumpulan suspek kes tembak mati di pusat beli belah Cheras dalam buruan polis

by | Jun 17, 2025 | National, News

Suspek kes tembak yang menyebabkan kematian dua lelaki di hadapan lobi pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, tengah malam tadi diburu polis.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Yusuf Jan Mohamad, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu pada pukul 12:48 tengah malam dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (membunuh).

“Dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki bertopeng ski berwarna hitam melepaskan tembakan dari sebuah kenderaan jenis Perodua Alza.

“Dua lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an terkena tembakan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi hotline polis Cheras di talian 03-9284 5050/5051, hotline polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan.

Terdahulu, media melaporkan dakwaan saksi bahawa kedua-dua mangsa dilaporkan sedang menuju ke arah kereta yang diletakkan di pekarangan pusat beli-belah berkenaan.

Sekumpulan lelaki yang memakai topi keledar secara tiba-tiba berlari ke arah kedua-dua mangsa yang sewaktu itu berada di bahagian luar perkarangan pusat beli-belah.

Suspek kemudian melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa sehingga kedua-dua mereka terbaring berlumuran darah. Mangsa kemudiannya disahkan maut di tempat kejadian.

-THE MALAYSIA VOICE

tembak-Cheras.jpg