JUST IN

Gyokeres dalam radar Man United, Arsenal, Juventus

by | Jun 12, 2025 | Sports

OLEH: SAINI KARIM

Musim perpindahan kali ini menyaksikan nama Viktor Gyokeres menjadi rebutan beberapa kelab gergasi Eropah, termasuk Manchester United, Arsenal, Juventus, dan beberapa kelab dari Arab Saudi.

Penyerang Sporting CP itu telah mencuri tumpuan dengan prestasi luar biasa musim lalu, menjaringkan gol demi gol dan menjadi tonggak utama pasukannya. Namun di sebalik pencapaian itu, sedang bergolak satu drama di belakang tabir yang kini menjadi tumpuan utama media sukan.

Gyokeres dilaporkan berang dengan pengurusan Sporting selepas mendakwa mereka mungkir janji untuk membenarkannya berpindah pada harga yang lebih rendah daripada klausa pelepasannya. Beliau dikatakan tidak akan beraksi lagi untuk kelab itu sehingga rundingan diselesaikan.

Sporting pula tidak berganjak, menegaskan bahawa mereka hanya akan mempertimbangkan tawaran melebihi €70 juta. Malah, presiden kelab turut menyelar tindakan ejen Gyokeres yang didakwa menggunakan tekanan dan ugutan dalam rundingan.

Di England, Manchester United telah menunjukkan minat paling aktif setakat ini. Difahamkan mereka bersedia membida sekitar £60 juta, namun belum mengemukakan tawaran rasmi.

Arsenal pula dikatakan telah berhubung dengan ejen pemain dan menjadi destinasi pilihan Gyokeres jika berpindah ke Liga Perdana Inggeris.

Juventus turut memantau situasi tetapi belum mengambil langkah konkrit. Dari Timur Tengah, beberapa kelab Saudi tampil dengan tawaran lumayan, namun pemain itu lebih cenderung kekal di Eropah demi persiapan Piala Dunia 2026.

Keputusan akhir Gyokeres bukan sahaja akan menentukan hala tuju kariernya, tetapi juga memberi kesan kepada pasukan yang berjaya mendapatkannya.

Sama ada dia menyarung jersi merah Manchester United dan merosakkan bakatnya. Atau memilih falsafah “Trust the process” Arteta sampai tahun 3030, atau mencuba nasib di Turin bersama Juventus yang lebih cerah untuk dapat piala.

Gyokeres.jpeg