JUST IN

PPZ-MAIWP, BSN meterai MoU perluas inisiatif wakaf tunai melalui platform digital

by | Jun 4, 2025 | Business, Local, National, News

Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) baru-baru ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Simpanan Nasional (BSN) di ibu pejabat PPZ-MAIWP.

Majlis ini merupakan simbolik kepada kerjasama strategik di antara dua institusi dalam usaha memperkukuh ekosistem wakaf dan zakat di Wilayah Persekutuan, di mana BSN secara rasminya telah dilantik sebagai ejen kutipan wakaf tunai PPZ-MAIWP.

Melalui MoU ini, kemudahan Sistem Pembayaran Wakaf dalam talian menerusi aplikasi MyBSN juga telah diperkenal bagi memudahkan pengguna menunaikan wakaf dengan lebih cepat, selamat dan telus.

Selain itu, pelanggan BSN turut mempunyai akses kepada pelbagai saluran sedia ada untuk tujuan berwakaf, termasuk ATM/ CDM, perbankan internet, e-Biller, QR DuitNow, pendebitan keuntungan melalui akaun simpanan, ejen bank dan juga di kaunter-kaunter BSN. Setiap transaksi akan dikemaskini secara automatik bagi memudahkan pewakaf menyemak rekod sumbangan wakaf secara langsung.

Untuk rekod, ini merupakan tahun ketiga PPZ-MAIWP diamanahkan untuk mengutip wakaf tunai di Wilayah Persekutuan. Suku pertama 2025 iaitu di antara Januari hingga April memperlihatkan kutipan wakaf tunai meningkat lebih 50% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, iaitu daripada RM2.19 juta kepada RM3.31 juta.

Pada masa sama, sebanyak 33 buah projek khas meliputi sektor kesihatan, pendidikan, perumahan, sosial dan kecemasan perlu disempurnakan dengan keperluan dana keseluruhan berjumlah RM748 juta.

Pada majlis ini, BSN turut menyampaikan sumbangan wakaf tunai berjumlah RM20,000 kepada PPZ-MAIWP sebagai sokongan kepada projek-projek wakaf yang sedang dilaksanakan. Kerjasama PPZ-MAIWP dan BSN dijangka memberi kesan positif jangka panjang kepada pengukuhan sistem sokongan sosial Islam serta memperluas capaian masyarakat kepada saluran berwakaf secara digital, seiring dengan aspirasi negara ke arah digitalisasi perkhidmatan awam dan kewangan Islam.

-THE MALAYSIA VOICE

PPZ.jpg