JUST IN

Lelaki kebal bisa ular selepas bertahan 200 kali digigit ular

by | May 23, 2025 | News, Opinions, World

OLEH: FARAHI KAMARUDDIN

Ada satu eksperimen yang ingin dijalankan bagi mencari penawar racun ular. Syaratnya seseorang harus merelakan dirinya terkena gigitan ular berbisa itu terlebih dahulu. Tapi, bukanlah hanya untuk sekali sahaja, namun untuk lebih 200 kali gigitan!

Ini cerita luar biasa seorang lelaki dari Wisconsin, Amerika Syarikat bernama Tim Friede, yang merelakan dirinya menjadi mangsa gigitan pelbagai jenis ular berbisa demi merealisasikan penghasilan antidot yang paling berkesan.

Selama lebih dua dekad, bermula tahun 2000, Tim mula merasakan bahawa dia perlu melakukan sesuatu untuk mengelakkan lebih ramai mangsa gigitan ular berbisa. Di Amerika, kes gigitan ular telah membunuh sehingga 140,000 orang setahun dan menyebabkan tiga kali lebih ramai mangsa memerlukan amputasi atau menghadapi hilang upaya kekal.

Jadi, pada tahun itu, Tim nekad untuk mencuba dengan caranya sendiri. Eksperimen peribadinya bermula apabila dia menyuntik dirinya dengan dos kecil bisa ular dan secara beransur-ansur meningkatkan jumlahnya. Beliau juga membiarkan dirinya digigit oleh pelbagai spesies ular berbisa, termasuk kobra, mamba, dan ular derik.

Walau bagaimanapun, dalam satu insiden pada tahun 2001, selepas digigit oleh dua ekor kobra dalam satu malam, beliau mengalami koma selama empat hari. Walaupun menghadapi risiko kesihatan yang serius, termasuk kejutan anafilaksis dan kehilangan kesedaran, Friede meneruskan usahanya demi penawar ini.

Selepas berulang-ulang kali terdedah kepada bisa ular, sistem imun Tim akhirnya dikesan menghasilkan satu antibodi unik yang mampu meneutralkan pelbagai jenis bisa. Ketika inilah, para penyelidik dari syarikat bioteknologi Centivax, yang diketuai oleh Jacob Glanville, mengetahui tentang keadaan Tim.

Mereka telah mengkaji antibodi dalam darah Tim dan mendapati ia berkesan dalam melindungi tikus makmal daripada bisa 19 spesies ular berbisa, termasuk mamba hitam dan kobra raja. Kajian ini telah diterbitkan dalam jurnal Cell pada tahun 2025.

Tim bersetuju untuk bekerjasama dengan Centivax kerana ia telah diberi kelulusan etika dan kajian itu hanya akan mengambil darahnya, dan bukan memberinya lebih racun.

Dalam kaedah perubatan biasa, penawar racun ular dihasilkan menggunakan darah haiwan seperti kuda dan hanya berkesan untuk spesies ular tertentu. Pendekatan ini mahal, lambat, dan boleh menyebabkan reaksi alahan.

Namun, antibodi daripada darah Tim menunjukkan potensi untuk menghasilkan penawar sejagat yang berkesan terhadap pelbagai jenis bisa ular, termasuk dari keluarga elapid dan viper. Antidot ini juga dijangka dapat dihasilkan di makmal, mengurangkan risiko reaksi alahan dan meningkatkan ketersediaan di kawasan yang memerlukan.

Meskipun Tim menyatakan bahawa tindakannya adalah demi membantu manusia yang lain, namun pakar menegaskan yang tindakan Tim ini sangat berbahaya dan tidak wajar untuk dicontohi orang lain.

Mungkin, pada perspektif lelaki berusia 57 tahun ini, ia hanyalah satu sumbangan kecil yang ingin dia lakukan demi perkembangan sains serta orang yang pernah menjadi mangsa gigitan ular berbisa. Walaupun dia sendiri berada di ambang maut gara-garanya.

SUMBER: The Patriots

tim_friede-TVMnews-mt.jpg