Kempen Premier League Manchester United musim ini sangat mengecewakan. Secara logik, peluang untuk layak ke mana-mana kejohanan Eropah melalui kedudukan semasa sekarang sangat mustahil.
Jadi, aksi final UEFA Europa League (UEL) bertemu Spurs nanti lebih dari sekadar trofi kerana ia akan menentukan perjalanan kelab untuk musim hadapan.
Tanpa bola sepak Eropah musim depan terutamanya aksi Liga Juara-Juara EROPAH (UCL) jika berdasarkan situasi semasa, United mungkin akan mengalami sedikit kesukaran untuk menarik pemain yang lebih berkualiti.
Pemain dalam kualiti yang bagus biasanya mesti ada keinginan untuk beraksi dalam pentas besar dan layak ke UCL akan menjadi penentu buat pasukan.
Selain itu, dengan menyertai UCL, pasukan boleh menjana jumlah dalam anggaran £50 ke £100 juta melalui wang pertandingan, hak siaran, penajaan dan lain-lain.
Keperluan yang tinggi dalam berada di pentas tertinggi bola sepak Eropah itu juga berkait dengan proses pembinaan semula pasukan di bawah Ruben Amorim.
Tanpa bola sepak Eropah, proses tersebut mungkin akan terganggu dalam aspek kelancaran kemajuannya. United bukan lagi dalam kedudukan selesa untuk beli sesiapa sahaja seperti dulu.
Ada peraturan UEFA Financial Sustainability (FSR) yang mengikat perbelanjaan pasukan mengikut pendapatan masing-masing.
Nak faham mudah, kita rumuskan seperti ini. Pertama, tanpa bola sepak Eropah, pendapatan pasukan berkurang. Kedua, apabila pendapatan berkurang, bajet perpindahan akan menjadi lebih kecil. Ketiga, bajet kecil ini yang akan memberi kesan kepada kemampuan pasukan membeli pemain dalam kelas yang berkualiti.
UEL untuk Man United ini mengikut konteks semasa, memang lebih daripada sekadar memenangi sebuah trofi.
Kalau ayat lebih keras, UEL adalah tali hayat untuk Amorim mengimplimentasikan ideanya dengan lebih baik bersama pasukan.
SUMBER: odfc Malaysia






