JUST IN

NGO gesa siasat individu menyamar polis, intimidasi larang aktiviti baca buku

by | May 14, 2025 | National, News, Opinions

OLEH: HAMDIN NORDIN

Baru-baru ini saya dan kawan-kawan yang lain telah didatangi oleh seorang yang mendakwa dirinya sebagai seorang pegawai siasatan bahagian jenayah daripada Dang Wangi.

Tapi apa yang mengejutkan? Satu wawancara ringkas bersama Ketua Polis Dang Wangi yang dilaporkan oleh media mengatakan bahawa, “beliau tidak mengenali mana-mana individu yang digambarkan sebagai penguat kuasa polis dalam hantaran media sosial yang tular itu.”

Persoalan kami, siapa sebenarnya orang ini? Yang telah mendakwa diri sebagai pegawai siasatan jenayah, Dang Wangi dan juga menunjukkan kad kuasanya.

Pertama, sekiranya orang ini memang bukan polis dan hanya menyamar, kami mendesak untuk satu tindakan yang tegas dilakukan. Kedua, sekiranya orang ini memang polis, kami menuntut Ketua Polis Dang Wangi untuk membuat satu kenyataan terbuka menjelaskan perkara ini.

Ketika itu, aktiviti Diskusi dan Buku Jalanan yang dianjurkan secara santai dan terbuka telah didatangi oleh kira-kira 8 hingga 10 orang anggota penguatkuasa daripada PDRM dan DBKL. Tiga daripadanya berpakaian seragam DBKL, manakala selebihnya berpakaian preman.

Individu yang mendakwa dirinya pegawai siasatan jenayah dari IPD Dang Wangi menyoal sama ada kami telah menghantar surat permakluman kepada Ketua Polis Daerah. Pertanyaan ini menimbulkan persoalan yang besar, adakah rakyat kini perlu membuat permohonan rasmi untuk menggunakan ruang awam bagi aktiviti membaca dan berdiskusi secara aman?

Permintaan agar kami bersurai pada jam 10 malam juga tidak disertakan dengan penjelasan undang-undang yang jelas. Ketika ditanya oleh salah seorang mahasiswa undang-undang mengenai asas peraturan yang digunakan, pihak berkuasa tidak memberikan sebarabg jawapan.

Kehadiran pihak berkuasa dalam jumlah sebegitu, serta sikap tidak mesra terhadap aktiviti yang bersifat pendidikan dan intelektual, adalah bentuk intimidasi.

Ia memberi kesan langsung terhadap suasana ruang awam yang sepatutnya menjadi milik bersama dan selamat untuk semua.

Kami percaya bahawa membaca, berdiskusi dan menggunakan ruang awam secara damai tidak seharusnya dilayan seperti satu kesalahan. Budaya intelektual seharusnya digalakkan, bukan diganggu.

Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia berpandangan bahawa insiden ini mencerminkan keperluan untuk menilai semula bagaimana pihak berkuasa memahami peranan mereka terhadap masyarakat sivil, serta keperluan untuk mempertahankan ruang awam sebagai tapak pertemuan dan pemikiran bebas.

Kami akan teruskan inisiatif Diskusi dan Buku Jalanan yang membuka ruang kepada wacana terbuka dan pembelajaran bersama. Federasi menyeru lebih ramai anak muda dan rakyat Malaysia terlibat dan aktiviti buku.

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

KREDIT-FOTO-Hamdin-Nordin.jpg