Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) amat dukacita dan memandang serius insiden kematian seekor anak gajah yang dilanggar kenderaan yang telah berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sempadan Gerik-Jeli, baru-baru ini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memandangkan hutan adalah habitat utama gajah di bawah bidang kuasa negeri seperti termaktub dalam Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Antara tindakan yang boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan usaha menangani konflik manusia dan gajah adalah seperti penyambungan habitat hidupan liar terutamanya gajah melalui pelaksanaan koridor ekologi.
“Selain itu, penubuhan koridor gajah di kawasan berhampiran habitat, termasuk kawasan perladangan, tanah persendirian dan tanah berhutan boleh dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Nik Nazmi, kerjasama antara syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit untuk mewujudkan rangkaian mini koridor di dalam ladang juga dituntut.
“Kita juga perlu melakukan penanaman sumber makanan semula jadi gajah di kawasan koridor bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tanaman komersial serta pembentukan santuari gajah yang sekurang-kurangnya berkeluasan 10,000 hektar.
“Malah, pemasangan lampu jalan di lokasi lintasan utama gajah juga perlu dilaksanakan,” ujarnya.
Kerajaan persekutuan telah menyediakan insentif ‘Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) sejak tahun 2019 iaitu insentif kewangan tambahan kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan.
Pelaksanaan EFT telah menunjukkan keberhasilan di mana sejumlah 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan diwartakan. Daripada jumlah tersebut, terdapat peningkatan dari segi keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sebanyak lebih 14,000 hektar.
-THE MALAYSIA VOICE






