Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski akan bertemu pasukan ranking 72 dunia, Cape Verde pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei ini.
Selain itu, kedua-dua pasukan akan bertemu kali kedua pada satu lagi perlawanan berstatus Perlawanan Latihan yang akan diadakan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun depan.
“Ini sebahagian persiapan yang diatur skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 10 Jun 2025, jam 9 malam,” jelas FAM dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu pada 25 Mac lalu, skuad Harimau Malaya memulakan kempen Kumpulan F dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri manakala Vietnam menewaskan Laos 5-0 di Stadium Binh Duong.
Tiket bagi menyaksikan perlawanan skuad Harimau Malaya menentang Cape Verde dan Vietnam ini, kedua-duanya akan dijual secara dalam talian di www.tickethotline.com.my bermula Isnin, 12 Mei 2025, jam 10:00 pagi.
Bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1, Malaysia lwn Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis, 29 Mei 2025, Tiket Terbuka berharga RM40 dan Tiket Kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) berharga RM5.
Sementara bagi perlawanan Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi, Malaysia lwn Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 10 Jun 2025, Tiket Terbuka berharga RM40, Tiket Grandstand RM60, Tiket Premium RM70 dan Tiket Kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) berharga RM5.
Kesemua tiket hanya akan dijual secara dalam talian sepenuhnya sehingga ke hari perlawanan dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di stadium bagi kedua-dua perlawanan ini.
-THE MALAYSIA VOICE