JUST IN

Seteru pemilihan jawatan Timbahan Presiden PKR: Nurul Izzah atau Rafizi?

by | May 8, 2025 | National, News, Opinions

OLEH: SAIFUL NASIR

Semakin banyak cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mula menyatakan sokongan secara terbuka kepada Nurul Izzah untuk mencabar Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden.

Wanita PKR pun dah nyatakan sokongan.

Jika Nurul Izzah berjaya meraih sokongan majoriti, maka legasi Datuk Seri (DS) Anwar Ibrahim akan terus mengakar dan ini akan mengukuhkan pengaruh dan kuasanya di dalam parti.

DS Anwar sudah lama tersinggung dengan mulut lancang Rafizi.

Pada Julai 2022, Rafizi pernah mengkritik dan mengaibkan DS Anwar apabila secara terbuka mendakwa Presiden PKR itu telah hilang populariti dan turut mengatakan bahawa DS Anwar tidak perlu dipertahankan. Ianya susulan kekalahan teruk PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak.

Rafizi turut menyerang penyokong setia DS Anwar dalam PKR, yang menurut Rafizi telah gagal mewujudkan naratif yang kuat untuk parti itu sejak PRU14.

DS Saifuddin Nasution sebelum ini dikatakan turut berminat untuk cuba nasib bertanding jawatan Timbalan Presiden, tapi saya fikir DS Saifuddin akan tarik ‘handbrake’. Takkan hulubalang paling kanan dan paling setia DS Anwar nak bergasak lawan anak bossnya?

Kecuali pada saat akhir jika DS Anwar minta Nurul Izzah tarik diri atas sebab-sebab kelebihan politik yang wajar untuk dirinya dan memberi laluan kepada DS Saifuddin.

Kini wujud dua kem di dalam PKR yang bersaing untuk merebut takhta nombor dua. Nurul Izzah membawa imej ‘Puteri Reformasi’ dan anak kepada Presiden yang mahu mewarisi legasi ayahnya, dan sudah pasti DS Anwar tidak mahu melihat anaknya kalah.

Manakala Rafizi pula ‘strategist’ dan pemain data yang sedang mencatur naratif baharu selain mempunyai kemahiran yang sangat tinggi untuk menghasut dan dan mencipta fitnah.

Pertandingan ini bukan sekadar pertembungan personaliti, tetapi juga ujian terhadap kesepaduan PKR yang dikatakan semakin rapuh.

Jika Nurul Izzah menang, ia memberi isyarat bahawa kem DS Anwar masih dominan dan Rafizi yang mungkin dilihat sebagai liabiliti kepada PKR kerana formula-formula gagalnya yang sering menjadi bahan ketawa dan ejekan rakyat bakal tersisih.

Jika Rafizi pula menang, itu membawa petanda bahawa era reformasi lama semakin pudar dan PKR perlu berwajah baharu.

Dalam suasana pertandingan yang sengit, perpecahan dalaman parti adalah risiko yang tidak boleh dielakkan.

Penyokong Rafizi akan menuduh Nurul Izzah sebagai boneka atau robot DS Anwar, manakala penyokong Nurul Izzah pula akan bermain kad emosi, kononnya hanya dia yang mampu meneruskan legasi reformasi sebenar selain mendakwa Rafizi hanya pandai bercakap.

Jika kempen dua penjuru ini menjadi medan serangan peribadi tanpa dasar yang jelas, maka ahli akar umbi mungkin melihat PKR bukan lagi sebagai wadah reformasi, tetapi sebagai parti lama yang pemimpinnya sedang berebut kuasa.

Akhirnya, siapa pun yang menang, luka perpecahan mungkin mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Apa pun, adalah kesilapan besar jika Rafizi memandang rendah kelicikan politik DS Anwar.

Salah langkah atau silap letak buah catur, Rafizi boleh ‘tidur berdiri’.

-THE MALAYSIA VOICE

Izzah-Anwar-Rafizi-kredit-Facebook.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES