Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa di bawah Kerajaan MADANI, kerajaan telah bersetuju supaya kawalan harga telur ayam ditamatkan dan kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji, berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025 dan pemberian subsidi bagi telur ayam akan ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos pengeluaran yang telah stabil.
“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.
“Kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Selain itu, KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut akan melaksanakan langkah-langkah intervensi berikut:
i) Pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada harga yang munasabah
ii) Rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
iii) KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab.
-THE MALAYSIA VOICE






