JUST IN

Tular video pelamin musnah angkara anak rakan, ke mana adab dan malunya ibu bapa?

by | Apr 29, 2025 | National, News, Opinions

OLEH: DR. RUSYAINIE RAMLI

Anak tumpahkan sebotol sirap atas lantai dapur, tak kelakar. Anak lumurkan tepung di badan dia, juga tak kelakar. Anak jatuhkan televisyen di rumah orang ketika beraya, lagilah tak kelakar.

Anak robohkan pelamin pengantin di majlis kenduri kahwin? Sangat tak kelakar!

Mak ayah yang ketawa kononnya kelakarlah perangai anak yang tak ada disiplin itu memang nak kena pergi kelas macam mana nak manusiakan anak. Bukan setakat ada otak, tapi tak berakal.

Kalau kat rumah pun anak tak boleh dikawal, memang sah di luar, anak itu tak kenal pun batasan. Adab dalam majlis memang tak ada langsung sebab selama ini dalam rumah, semua boleh.

Lompat atas katil boleh. Tidur lambat boleh. Makan sepah boleh. Campak baju merata boleh. Di rumah, pendek kata “lantak lah nak buat apa” jadi raja kan?

Mereka yang dah bertahun membaca status saya, mesti takkan lupa betapa tularnya tulisan saya tentang anak-anak saya dan magnet yang saya tepekkan di peti sejuk.

Ya, anak-anak saya tak buat mainan benda yang bukan tujuannya itu.

Masa itu anak-anak saya masih di sekolah rendah. ‘Netizen’ punyalah berlambak yang mengomen mengata anak-anak saya. Siap dipanggil patung cendana.

Kata mereka, anak-anak saya itu tak kreatif. Nanti memberontak lah bagai bila besar. Segala cemuhanlah sampai kan terasa ‘Ma, Abah’ saya.

Sebenarnya kan, sanggup saya bila anak-anak saya dikutuk begitu dari jadi manusia yang tak ada adab bila dalam masyarakat. Pergi rumah orang, dipanjat sana sini. Makan biskut habis merata serdaknya. Bayangkan tuan rumah nak mengadap perangai anak itu.

Dari elok nak dibuat pahala sebab menjamu tetamu, hambar silaturrahim sebab anak kita tak ada tamadun lagaknya.

Dah besar pun keduanya, Zulaikha dan Thorique. Mereka buktikan dengan disiplinlah mereka berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam SPM dan IGCSE masing-masing.

Mereka dalam perjalanan mencapai impian hidup mereka yang mereka pilihkan sendiri. Saya hanya menyokong sebagai mama. Menunjuk ajar bila perlu.

Sekarang saya dah zaman bertenang. Sebab semua kerja nak mengasuh, mengajar, mendidik dah saya lakukan sepanjang mereka membesar.

Sebelum ini, memang tak senang. Tak mudah ya nak terapkan mereka dengan peraturan dan disiplin. Tapi saya ini kental. Tak goyah pun bila mereka meragam. Pedulikanlah, saya tetap konsisten.

Biar mereka menangis bila saya bertegas, dari saya yang meraung kalau mereka mati katak merempit. Atau menjadi pembuli di sekolah sampai kena buang.

Kalau mak sendiri pun tak boleh bezakan benda betul dan salah yang anak buat, macam mana nak manusiakan anak itu? Kelakar pula bagi dia bila anak jahanamkan barang hak milik orang.

Begitu agaknya kenapa di sekolah, selamba saja budak ambil benda kawan dia. Peras ugut duit kawan.
Kelakar, ya?

Samalah macam saya pernah kerja 21 tahun lamanya dalam ATM di merata tempat. Barang mainan yang saya beli atau suami saya bagi sedekah, sekejap saja terus lenyap.

Saya ni letakkan di klinik supaya kanak-kanak adalah benda nak main sementara menunggu. Tapi apa yang jadi? Hilang satu per satu. Pakat bawa balik rumah. Mak ayah pun biarkan. Padahal itu mencuri namanya!

Bukan harga yang menjadi isunya. Memanglah mak ayah sentap bila ditegur. “Ala, benda murah saja pun nak berkira.” Realitinya? Perlakuan mengambil benda tanpa izin yang bukan dia punya itu kan mencuri!

Sepanjang saya bekerja, tak pernah pun ada mak ayah yang anaknya mencuri itu, pulangkan semula barang. Selamatlah jadi hak dia. Kalau anak yang istimewa, memang kita fahamlah. Tetapi ini tak.

Jenis yang buat apa saja, mak ayah tak kisah pun. Rosakkan barang itu kelakar kan pada mereka. Namanya budak kan, memang begitulah pada mereka. Anak mereka cerdik, kata merekalah. Tetapi hakikatnya, mereka dah dipijak oleh anak. Jadi hamba.

Itu yang anak besar kepala, perasan yang anak mereka itu sempurna sangatlah kan. Padahal mak ayah itu pun ‘krik krik’.

Menyampah betul saya apabila melihat anak yang dibela oleh mak ayah yang dangkal bab adab sopan. Anak tu bukan saja tak ada faedah untuk orang lain. Malah jadi beban dalam masyarakat sebab mak ayah gagal nak jalankan amanah Allah SWT!

Tolonglah pergi belajar macam mana nak jadi mak ayah. Bukannya sekadar beranak terus pandai jadi mak ayah!

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

pelamin-musnah-viral.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES