Perbincangan mengenai apa yang berlaku di atas padang mungkin tidak begitu rancak meskipun kemenangan ke atas Spurs ini besar.
Perkara utama yang akan diulang-ulang adalah kejayaan Liverpool menjuarai liga sebanyak 20 kali, menjadikan mereka sebagai pasukan Inggeris terbaik tanpa perlu dipertikaikan lagi.
Namun begitu, dalam 90 minit di Anfield, ada beberapa perkara yang boleh digariskan tentang pendekatan dan pembawakan daripada kedua-dua pasukan.
Sejak tiupan wisel separuh masa pertama, Liverpool menekan Spurs dengan agresif, cuba menyekat setiap percubaan daripada pelawat untuk membina serangan dari bawah.
Dominik Szoboszlai, Alexis Mac Allister, dan Ryan Gravenberch memainkan peranan penting dalam memaksa Archie Gray dan Lucas Bergvall melakukan kesilapan.
Gandingan muda Spurs yang kurang berpengalaman ini tenggelam dalam pendekatan yang dibawa oleh trio tengah Liverpool, sekali gus memberikan tuan rumah peluang untuk menguasai permainan dari awal.
Salah satu kekuatan Liverpool yang cukup menyerlah adalah bagaimana mereka menunjukkan ketajaman mereka ketika transisi.
Setiap kali Spurs kehilangan bola, Liverpool menunjukkan ‘urgency’ dalam melancarkan serangan balas secara pantas dan teratur. Gol Mohamed Salah adalah contoh terbaik.
Sebaik sahaja Spurs hilang bola, Liverpool membentuk situasi 4 lawan 4 dan memanfaatkan kerapuhan pertahanan Spurs dengan penyudah yang klinikal. Trend yang ditunjukkan Liverpool ini memang kita biasa lihat sepanjang musim ini.
Masalah utama Spurs bukan sekadar berlegar-legar di barisan pertahanan sahaja. Kalau perhati dari awal, struktur Spurs sangat lemah dan tidak membantu untuk meneutralkan situasi selepas kehilangan bola.
Tidak seperti Liverpool yang pantas dalam melakukan ‘counter-press’, Spurs gagal menyusun struktur luar penguasaan mereka dengan baik.
Pemain tengah lambat dalam turun membantu, pemain sayap kurang menyokong, dan akhirnya, pertahanan terpaksa berhadapan dengan kesukaran secara berterusan. Destiny Udogie, berulang kali terdedah kepada ancaman daripada Mo Salah tanpa bantuan yang sepatutnya.
Keputusan Ange Postecoglou untuk menggandingkan Archie Gray dan Lucas Bergvall ternyata memakan diri. Boleh jadi lebih kepada pendedahan, atau merehatkan pemain utama, tetapi konteks semasa perlawanan, bacaannya berbeza.
Walaupun kedua-duanya memiliki potensi besar, mereka tidak mampu menyaingi pengalaman dan mentaliti bahagian tengah Liverpool.
Kekurangan disiplin dalam ‘positioning’ menyebabkan Liverpool mudah menguasai ruang dan kawasan di antara garisan tengah dan pertahanan Spurs, menjadikan pertahanan Tottenham seperti tiada pelindung dan lebih mudah ditembusi.
Liverpool juga menunjukkan keupayaan untuk mencipta sesuatu menerusi situasi ‘set pieces’. Jaringan Cody Gakpo hasil sepakan penjuru membuktikan bagaimana Liverpool berjaya memanfaatkan kelemahan Tottenham dalam penyusunan semasa bertahan dalam situasi tersebut.
Tottenham gagal melakukan ‘clearance’ dengan efektif dari kawasan mereka, membuka peluang kepada Liverpool untuk melakukan sesuatu.
Berbeza dengan Spurs yang nampak huru-hara, Liverpool lebih tersusun dalam berhadapan dengan situasi tersebut.
Tahniah sekali lagi buat Liverpool. Mereka pasukan paling konsisten musim ini. Pasukan konsisten secara positif sentiasa layak untuk memenangi sesuatu.
Masa tamat, Liverpool 5-1 Spurs. 20 kejuaraan liga ni bukan main-main punya rekod, dah kira terbaik di England!
SUMBER: odfc Malaysia






