OLEH: MOUSTAPHA ABBAS
Selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kadar tarifnya kepada dunia beberapa minggu lalu, ia memberi kesan kepada semua negara termasuk China. Tindakan tersebut secara tidak langsung menjadikan Hollywood mangsa awal perang dagang dua kuasa besar itu.
Dahulu, China menjadi tumpuan Hollywood dalam meraih kutipan pecah panggung lumayan di peringkat global. Ini terbukti menerusi filem-filem hebat seperti The Avengers, Mission: Impossible – Fallout dan francais Harry Potter.
Walau bagaimanapun, tarikan filem Hollywood di China tidak seperti dahulu. Ini dibuktikan dengan membuat perbandingan dua filem yang sedang ditayangkan iaitu Ne Zha 2 dan The Minecraft Movie.
Ne Zha 2 menjadi bualan hangat rakyat China sejak ditayangkan pada 29 Januari lalu. Kutipan semasa filem berkenaan ialah 15.2 bilion yuan (RM9.2 bilion). The Minecraft Movie? Hanya 150 juta yuan (RM90.5 juta) sejak ditayangkan di China dan masih belum memecah senarai 10 filem pecah panggung 2025.
Satu perkara yang menyebabkan filem Hollywood semakin kurang diminati ialah kemerosotan dari segi kreativiti. Selain terlampau bergantung kepada francais yang ada, cerita yang dihasilkan dilihat tidak relevan dengan kehidupan masyarakat terutama di sebelah Timur.
Fakta ini turut disokong dengan peratusan kandungan filem original yang dihasilkan Hollywood oleh China Film News. Kandungan bersifat original hanya mencecah 18.6% dengan selebihnya membabitkan francais popular.
Situasi ini tidak dibantu dengan pendirian agresif AS berkenaan tarif. Keinginan Presiden Donald Trump menggerakkan kempen tarif bakal menjejaskan lebihan dagangan lumayan yang dijana AS dan China dalam bidang perfileman.
Statistik Jabatan Perdagangan AS mendapati terdapat lebihan dagangan antara kedua-dua negara meningkat lapan kali ganda. Angka lebihan dagangan tahunan pula mencecah AS$40 bilion (RM176 bilion).
Ramai pakar memberi amaran seandainya perkara ini berterusan, industri berteraskan harta intelek (IP) yang menjadi teras keuntungan industri perfileman kedua-dua negara akan terjejas. Selain itu, penonton juga akan lebih cenderung memilih filem-filem dari negara-negara berbeza sebagai pilihan mereka.
China sudah menyatakan mereka akan membalas kepada setiap tarif yang dikenakan AS ke atasnya. Ini terbukti pada minggu lalu, China mengumumkan akan mengehadkan jumlah filem yang diimport untuk pasaran negara itu.
Langkah tersebut dilihat berpotensi menjejaskan kutipan pecah panggung filem-filem Hollywood di China. Malah, saham beberapa studio besar Hollywood seperti Warner Bros. Discovery difahamkan turut jatuh akibat berita berkenaan.
Pengkritik filem, Dong Wenxin menyifatkan kesemua faktor ini menyebabkan filem Hollywood semakin kurang diminati di China. Ini diukur bukan saja dari kutipan pecah panggung filem-filem tersebut di China tetapi juga perbandingan sambutan penonton terhadap filem-filem lain terutama dari Asia dan Eropah.
“Jarang untuk filem Amerika raih 100 juta yuan di China melainkan ia sebuah filem yang istimewa,” katanya. “Mereka ditewaskan bukan saja oleh filem anime Jepun tetapi juga filem bebas Eropah dan kejutan membabitkan filem Asia.”
Selain itu, industri perfileman China juga mencari pasaran alternatif selain AS. Baru-baru ini, satu persetujuan dimeterai antara China dan Sepanyol untuk meningkatkan kerjasama dalam industri itu termasuk penganjuran festival filem.
Pengulas politik yang berpangkalan di Beijing, Ming Jinwei mengingatkan AS bahawa tarif yang dikenakan hanya akan merugikan negara itu. Ini kerana langkah tersebut dilihat menjejaskan tarikan Hollywood dan eksportnya yang paling berkesan – pengaruh budaya.
“Tarif AS bukan saja pada barangan tetapi juga pada tarikan,” katanya. “Dan dalam ekonomi hiburan global hari ini, bila tarikan itu sudah pudar, pengaruh kebudayaan yang paling kuat pun sukar bertahan.”
SUMBER: The Patriots






