OLEH: AZIZUL FARHAN
Baru-baru ini, selepas 29 tahun tertanam, kapsul masa Tun Dr Mahathir di Menara Kuala Lumpur akhirnya dibuka pada 13 April 2025.
Dan yang paling ‘mind-blowing’? Tun M sendiri yang buka kapsul tu pada usia 99 tahun.
Kapsul masa ni ditanam pada 1 Oktober 1996, sempena pembukaan Menara Kuala Lumpur dan juga sebagai simbol harapan Wawasan 2020.
Ia sepatutnya dibuka pada tahun 2020, tapi gara-gara Covid-19, semuanya tertangguh. Sehinggalah hari raya tahun 2025 jadi saksi sejarah.
Apa ada dalam kapsul tersebut?
Kapsul yang ditanam pada 1 Oktober 1996 itu mengandungi pelbagai barangan simbolik mencerminkan aspirasi dan harapan Malaysia untuk mencapai status negara maju seperti yang digariskan dalam gagasan Wawasan 2020.
Setem bergambar Menara Kuala Lumpur, keratan akhbar, duit kertas lama RM2, teks sajak yang ditulis sendiri oleh Tun Mahathir kad pengenalan, album gambar, telefon lama, dan cakera padat VCD yang mengandungi rakaman pembangunan Menara KL.
Dan yang paling menyentuh, sajak tulisan tangan Tun M sendiri. Sajak tu ditulis sempena ulang tahun ke-50 UMNO pada tahun 1996. Penuh semangat patriotik dan mesej supaya rakyat Malaysia terus bangkit, jangan leka dan terus bina negara dengan tangan sendiri.
Semua ni ditarik keluar satu demi satu. Setiap barang ibarat serpihan masa yang bercerita semula pasal zaman penuh harapan dan semangat membina negara.
Tun M ada kapsul lain?
Dan kapsul ni rupanya bukan satu-satunya kapsul yang Tun M pernah tanam. Di Putrajaya pun ada.
Tahun 1995, beliau tanam kapsul masa sempena pelancaran Putrajaya sebagai pusat pentadbiran baru negara.
Dalam itu ada salinan kertas kabinet, perjanjian pembangunan, rang undang-undang Perbadanan Putrajaya dan macam-macam lagi dokumen rasmi.
Ia dibuka pada tahun 2020 dan dipamerkan kepada orang ramai masa Festival Floria Diraja 2024.
Lebuhraya Utara-Selatan pun ada kapsul. Ditanam pada tahun 1994 dekat R&R Rawang. Sepatutnya dibuka tahun 2018, tapi sampai hari ni belum dibuka sebab tempoh konsesi dilanjutkan sampai 2038. Jadi isi kapsul tu masih jadi misteri sampai sekarang.
Lagi satu kapsul, paling ‘rare’ iaitu kapsul masa The Mall yang sekarang dah jadi Sunway Putra Mall. Ditanam pada 1987, dan akan hanya dibuka pada tahun 2087. Ya, 100 tahun selepas ditanam.
Lepas bertukar pemilik, kapsul tu sekarang disimpan rapi oleh pengurusan Sunway. Bayangkan, kalau umur panjang, cucu kita nanti yang akan saksikan pembukaannya.
Tun M hampir menangis
Dalam sidang media, Tun M cakap dia tak sangka dia masih hidup untuk buka balik kapsul ini.
Masa dia tanam dulu, dia dah pun 70 tahun. Tapi hari ni, pada usia hampir seabad, dia masih sempat baca balik sajak lama dia depan rakyat yang datang beribu-ribu.
Dia sebak. Memori itu hidup balik. Dan paling kuat impaknya bila beliau cakap, “Saya ingat masa tu saya dah tak ada. Tapi hari ni saya sendiri yang buka dan baca balik… Saya rasa sangat bersyukur.”
Isu Menara KL & Bumiputera
Dalam majlis tu juga, Tun M sempat ‘menembak’ isu panas iaitu pengambilalihan pengurusan Menara KL daripada syarikat Bumiputera kepada syarikat lain.
“Kenapa ambil balik dari Bumiputera? Ini simbol kejayaan kita. Kalau ada masalah, baiki. Bukan rampas,” tegas beliau.
Katanya, ini bukan soal parti politik. Ini soal maruah, soal hak, dan soal semangat membina negara. Semua patut raikan. Tak kira kau UMNO ke, PAS ke, Keadilan ke.
Apa makna kapsul masa ini sebenarnya?
Kapsul ni bukan sekadar barang-barang lama.
Ia adalah mesej dari masa lalu, daripada generasi yang percaya Malaysia boleh jadi negara hebat. Ia adalah harapan, semangat dan ‘blueprint’ impian kita.
Dan sekarang kapsul tu dah dibuka, soalan sebenar ialah “Apa yang kita sendiri nak tinggalkan untuk 30 tahun akan datang?”
SUMBER: The Patriots