Abu Dhabi Autonomous Racing League (A2RL), sebahagian daripada Advanced Technology Research Council (ATRC), dengan kerjasama Drone Champions League (DCL), mengakhiri Kejohanan Dron Autonomi A2RL x DCL di Timur Tengah, di ADNEC Marina Hall, Abu Dhabi, UAE.
Dalam satu kejayaan besar untuk penerbangan autonomi dan robotik udara, dron AI Team MavLab mengatasi juruterbang manusia terkemuka di dunia untuk memenangi AI vs Human Challenge.
Pertarungan satu lawan satu ini adalah yang paling kompleks pernah diadakan, yang menampilkan peserta akhir daripada DCL Falcon Cup iaitu antara juruterbang dron terbaik di dunia.
Sepanjang dua hari yang paling getir, 14 pasukan antarabangsa layak untuk minggu akhir, dengan empat terbaik mara untuk bersaing dalam pelbagai format perlumbaan yang mencabar.
Pasukan daripada UAE, Belanda, Austria, Korea Selatan, Republik Czech, Mexico, Turkiye, China, Sepanyol, Kanada dan Amerika Syarikat mewakili gabungan makmal universiti, institusi penyelidikan dan syarikat inovatif baharu.
Setiap pasukan berlumba menggunakan dron mengikut standard yang ditentukan dan dilengkapi dengan modul pengkomputeran NVIDIA Jetson Orin NX yang kompak tetapi berkuasa, kamera menghadap ke hadapan dan unit pengukuran inertia (IMU) untuk persepsi dan kawalan atas dron.
Tanpa input manusia, semua dron ini bergantung sepenuhnya pada pemprosesan masa nyata dan proses membuat keputusan berasaskan AI untuk mencapai kelajuan melebihi 150 km/j melalui persekitaran perlumbaan yang kompleks.
Program A2RL X DCL Drone STEM, direka dengan kerjasama UNICEF dan di bawah pengawasan ATRC, telah melatih lebih 100 pelajar Emiriyah.
Lebih 60% telah memperoleh sijil Trusted Operator Program dan 24 telah mencapai skor sempurna, menunjukkan kemahiran penerbangan tercanggih yang dibangunkan sebagai sebahagian daripada program.
Dengan peringkat akhir dron kini tercatat, semua perhatian tertumpu kepada Musim 2 siri perlumbaan kereta autonomi A2RL, yang akan dianjutkan untuk Q4 2025 di Litar Yas Marina di Abu Dhabi.
-THE MALAYSIA VOICE





