Imbas kembali perjalanan yang telah dilalui oleh Pak Lah. Seorang tokoh besar negara, negarawan berjiwa rakyat dan pemimpin yang disegani, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau merupakan anak sulung kepada pasangan yang dihormati dan berasal daripada keturunan ulama tersohor. Sejak kecil, beliau diasuh dengan nilai ilmu, iman dan integriti yang membentuk keperibadian mulia beliau sepanjang hayatnya.
Tun Abdullah atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah memulakan perkhidmatan awamnya dengan penuh kejujuran dan dedikasi. Beliau kemudian menyertai dunia politik dan pada tahun 1978 telah dipilih sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas.
Beliau terus mengekalkan kerusi tersebut selama lebih tiga dekad. Dari bumi Kepala Batas inilah, lahirnya benih kepimpinan yang membentuk beliau menjadi seorang negarawan unggul.
Sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima, beliau dikenali dengan pendekatan yang sederhana dan penuh hemah. Di bawah pentadbiran beliau, muncul gagasan Islam Hadhari yang mengangkat prinsip Islam sebagai panduan membina negara maju dan masyarakat yang berperadaban tinggi.
Beliau sentiasa memelihara keharmonian, menghormati pandangan rakyat dan menjadikan kesejahteraan ummah sebagai keutamaan. Kelembutan tutur kata, kesabaran dalam menghadapi cabaran dan keikhlasan dalam memimpin menjadi inspirasi buat semua.
Selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri, Tun Abdullah kekal aktif menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai institusi ilmiah dan keagamaan. Antaranya termasuk Institut Kefahaman Islam Malaysia, Institut Pengajian Islam Lanjutan dan Forum Ekonomi Islam Dunia. Beliau juga terlibat sebagai penasihat pembangunan negara dan tokoh diplomasi antarabangsa.
Pak Lah bukan sekadar pemimpin. Beliau adalah lambang kesederhanaan, suara ketenangan dan contoh kepimpinan berakhlak tinggi. Pemergian beliau pada tahun 2025 di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur merupakan satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Malaysia.
Negara kehilangan seorang negarawan sejati, dan rakyat khususnya warga Kepala Batas kehilangan seorang tokoh yang membesarkan nama tanah kelahirannya hingga ke persada antarabangsa.
Al-Fatihah buat roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan para solihin, anbia dan syuhada.
Terima kasih Pak Lah. Jasamu tetap dikenang. Namamu kekal abadi dalam sejarah bangsa dan di hati rakyat Malaysia.
SUMBER: Penang Kini