OLEH: FARAHI KAMARUDDIN
Dalam perubatan Cina, ia digunakan sebagai salah satu herba yang bermanfaat. Namun, jika tersilap langkah, dan dimakan dengan banyak, ia boleh membawa padah kerana bijinya yang beracun!
Kecubung, atau dalam Bahasa Inggerisnya dikenali sebagai devil’s trumpet serta Datura stramonium atau Datura metel dalam nama saintifiknya. Ia adalah sejenis pohon renek herba yang berasal dari China.
Rupa bentuk pokok kecubung ini menyamai poko terung, kerana ia juga daripada keluarga yang sama, iaitu Solanaceae. Malah, ada juga yang memanggil kecubung ini sebagai pokok terung gila.
Ada tiga jenis kecubung yang biasa ditemui, iaitu kecubung besar, kecubung kecil dan kecubung putih. Ia mudah untuk ditanam, iaitu menggunakan biji benih daripada buahnya yang berduri serta berwarna hijau muda ketika muda.
Buah yang muda ini akan bertukar menjadi warna coklat apabila sudah matang, serta pecah, lalu mengeluarkan biji-biji berwarna hitam untuk pembiakan secara semula jadi. Selain itu, ia juga boleh dibiakkan menggunakan keratan batang pokok.
Bunga kecubung besar, dan mempunyai bentuk seperti trumpet dengan warna putih, ungu atau kuning. Di sebalik bunganya yang sangat cantik ini, pokok kecubung sebenarnya sangat beracun.
Boleh dikatakan semua bahagian pokok ini adalah beracun, terutamanya pada bahagian biji benih dan daunnya. Ini kerana pokok kecubung mempunyai kandungan toksik alkaloid, iaitu alkaloid tropane.
Bahan ini boleh menyebabkan berlakunya gejala seperti kulit menjadi merah, sakit kepala, halusinasi serta kekejangan dan boleh membawa kepada koma. Walaupun begitu, keadaan keracunan ini hanya berlaku jika seseorang itu makan atau terdedah kepada sebarang bahagian tumbuhan dalam kuantiti yang banyak.
Seseorang yang mengalami keracunan kecubung, terutamanya kanak-kanak, tidak boleh membiarkan pesakit itu tertidur, tapi harus membiarkan dia berada dalam keadaan sedar dengan menyedut udara segar sehingga kesan racun hilang.
Yang menariknya, meskipun dianggap beracun, tapi ia adalah antara herba asas perubatan Cina. Malah, dalam perubatan tradisional Melayu, ia juga boleh digunakan untuk merawat penyakit bisul, resdung dan asma.
SUMBER: The Patriots