JUST IN

Momentum terbaik ditampilkan Arsenal jinakkan corak konservatif Real Madrid

by | Apr 9, 2025 | Sports

Apa yang berlaku di dalam perlawanan Arsenal dan Real Madrid?

Pendekatan taktikal Arsenal dalam perlawanan ini sangat berhati-hati, terutama dari aspek pergerakan serangan mereka.

Arsenal tidak terlalu terburu-buru untuk menyerang dengan agresif, sebaliknya memilih untuk membina serangan secara perlahan dan tersusun. Pembawakan ini sangat logik.

Ini mengambil kira tahap kualiti individu pemain-pemain Real Madrid seperti Jude Bellingham, Vinicius Jr, dan Kylian Mbappe yang mampu untuk mencipta ancaman meskipun berada pada ruang yang kecil.

Bertemu lawan seperti Madrid, satu kesilapan kecil boleh dihukum dengan pantas melalui serangan balas atau momen daripada individu.

Oleh itu, Arsenal cuba mengawal tempo, memanfaatkan ‘overload’ di kawasan tengah dan sayap, dan kemudian melakukan progres ke ‘final third’ dengan sabar.

Namun begitu, cabaran Arsenal adalah pada kadar penyudah mereka. Tiada hasil yang benar-benar ketara dapat dilihat sepanjang separuh masa pertama.

Real Madrid pula memilih pendekatan yang konservatif.

Walaupun cuba untuk memberi tekanan yang tinggi, tetapi isu yang berlaku adalah Arsenal masih mampu untuk keluar daripada struktur tekanan mereka.

Kebanyakan masa, mereka lebih kepada menunggu peluang untuk melakukan serangan balas. Ini menjadikan separuh masa pertama kelihatan seimbang melihat pada skor semasa. Kedua-dua pasukan berhati-hati dan kurang berani dalam mengambil risiko yang terlalu besar.

Namun, selepas rehat, segalanya berubah. Gol pembukaan daripada Declan Rice memberikan perubahan yang cukup ketara kepada Arsenal.

Pemain Madrid masih kelihatan tenang, cuba untuk terus kekal dalam permainan. Tapi selepas gol kedua, corak permainan tidak lagi serupa untuk kedua-dua pasukan.

Arsenal kelihatan lebih yakin ketika menyerang, dengan lebih banyak gerakan yang tajam dan penetrasi ke dalam kotak. Real Madrid mula hilang disiplin dalam struktur bertahan mereka, dan Arsenal berjaya mengambil kesempatan.

Jaringan ketiga yang hadir daripada Mikel Merino menjadi kemuncak kepada dominasi Arsenal dalam babak kedua. Ia menggambarkan bagaimana pendekatan taktikal yang sabar dan disiplin pada awal permainan akhirnya membuahkan hasil apabila momentum dan keyakinan sudah berpihak kepada mereka.

Secara keseluruhan, Arsenal memerlukan produk akhir untuk mengembalikan keyakinan mereka setelah berjaya mengawal situasi dengan baik.

Naratif mungkin berbeza sekiranya Arsenal keluar daripada perlawanan dengan sekadar beraksi baik tetapi seri atau paling teruk sudah tentu kalah.

Perlawanan kedua menanti di Santiago Bernabeu, ekspektasi untuk Madrid ‘all out’ sangat tinggi.

Masa tamat: Arsenal 3-0 Real Madrid

Arsenal menunjukkan bagaimana untuk gunakan pendekatan yang sesuai apabila bertemu dengan pasukan sekelas Real Madrid.

SUMBER: odfc Malaysia

ARS-RM.jpg

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES