JUST IN

Tiada kompromi pelaku kes buli MRSM

by | Apr 8, 2025 | National, News, Opinions

OLEH: DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI

Keputusan kes buli Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) oleh Jawatan Kuasa disiplin maktab mendapati seramai 7 pelajar didapati terlibat, 2 terlibat buli fizikal dan 5 subahat. Disyorkan semuanya ditamatkan pengajian dari MRSM.

Maaf saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo. Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM.

Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam BULI, tindakan tegas dan keras akan diambil. Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini.

Semalam juga saya adakan perbincangan dengan Ketua Pengarah MARA untuk memastikan budaya buli ini dapat dikekang sepenuhnya.

Antara yang saya minta pihak pengurusan perhalusi ialah cadangan untuk menempatkan Warden sepenuh masa berjawatan kontrak di semua MRSM seluruh Malaysia.

Warden ini boleh dilantik melalui proses temuramah dan penilaian holistik terhadap calon-calon di kalangan pesara Tentera mahupun polis yang punya keupayaan yang baik untuk menerapkan elemen disiplin dan memantau secara lebih komprehensif pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar di asrama.

Laporan yang diterima daripada pegawai saya, pelajar-pelajar terbabit sudahpun pulang ke pangkuan keluarga masing -masing semalam dan hari ini.

** Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki merupakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA)

-THE MALAYSIA VOICE

(Kenyataan ini adalah adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi The Malaysia Voice mahupun themalaysiavoice.com)

buli-MRSM-kredit-foto-TV-Pertiwi.jpg