JUST IN

MUFG N0W (Net Zero World) Sarawak Buka Jalan Kerjasama Tenaga Boleh Diperbaharui Dan Pertumbuhan Mapan Di Asia

by | Mar 28, 2025 | National, News

MUFG Bank (Malaysia) Berhad, anak syarikat Mitsubishi UFJ Financial Group, Inc. (MUFG), berjaya menghimpunkan lebih daripada 100 pemimpin perniagaan, pembuat dasar, pakar industri dan rakan strategik ke persidangan MUFG N0W di Kuching, Sarawak.

MUFG N0W, atau Net Zero World, ialah platform utama bank ini bagi rangkaian serantau dan kepimpinan yang bertujuan menggerakkan maklum balas kolektif daripada sektor swasta dan awam terhadap cabaran serta peluang dalam pembangunan mapan Asia. Sesi tahun ini di Kuching adalah lanjutan daripada kejayaan persidangan MUFG N0W yang pertama di Malaysia pada Mac tahun lalu.

Dianjurkan bersama oleh pasukan kewangan ESG MUFG bagi rantau APAC dan anak syarikatnya di Malaysia, acara ini dihadiri oleh tetamu terhormat termasuk YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dan YBhg. Datuk Sikh Shamsul Ibrahim bin Sikh Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pemimpin industri dalam sektor tenaga lestari, kewangan dan teknologi turut hadir bagi membincangkan aspek pemerkasaan tenaga hijau serta strategi nyahkarbonisasi masa depan.

Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Abdul Aziz, menerusi ucapan ucaptamanya menekankan peranan utama agensi itu dalam menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 serta komitmennya untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050:“Dengan kerjasama rakan antarabangsa termasuk Jepun, SEDC menerajui inisiatif inovasi hidrogen hijau, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam tenaga mapan.

Salah satu sesi panel perbincangan di persidangan MUFG N0W di Sarawak. Dalam acara ini, pemimpin industri dijemput untuk berkongsi pandangan mereka mengenai teknologi peralihan terkini serta kepentingan kerjasama perniagaan dan pembiayaan dalam mempercepatkan agenda sifar bersih Malaysia.

“SEDC komited dalam penggunaan teknologi canggih dan membina kerjasama global bagi memastikan Sarawak terus menjadi pemimpin dalam tenaga bersih dan kelestarian,” tambah beliau.

Manakala, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim bin Sikh Abdul Majid dalam ucapannya, pula berkata: “Transformasi hijau Malaysia bukan sekadar aspirasi—ia adalah satu keperluan.

“Melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua pihak berkepentingan, kerjasama strategik dengan MUFG serta komitmen organisasi seperti SEDC Sarawak dan Sarawak Energy, kita sedang membina masa depan yang mapan dengan menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, sambil menangani dilema tenaga—kecekapan kos, keselamatan tenaga dan kelestarian alam.

“MIDA komited untuk membantu dan bersedia untuk memberikan sokongan kepada anda, dari peringkat konseptualisasi projek hingga pelaksanaan. Kami mengalu-alukan kerjasama anda untuk meneroka bagaimana kami boleh memudahkan perjalanan pelaburan hijau anda di Malaysia,” tambah beliau.

Dengan kehadiran yang kukuh di Malaysia selama hampir 70 tahun, MUFG secara aktif bekerjasama dengan pelanggan korporat bagi memahami aspirasi kelestarian mereka serta membangunkan transaksi seperti pembiayaan hijau, pinjaman berkaitan kelestarian dan perdagangan hijau. MUFG Malaysia juga telah dinobatkan sebagai Best Sustainable Bank (International)  oleh FinanceAsia untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada 2023 dan 2024.

Komitmen MUFG terhadap agenda pertumbuhan Sarawak juga dapat dilihat melalui penyertaannya dalam persidangan bajet negeri Sarawak pada Disember lalu—persidangan bajet negeri pertama di Malaysia yang merangka inisiatif dan dasar pertumbuhan strategik terbaru Sarawak. MUFG turut memainkan peranan dalam memudahkan perbincangan berkenaan perkongsian awam-swasta bagi membuka peluang hijau di negeri itu.

Minggu lalu, bank ini juga telah menandatangani MoU dengan AFFIN Bank, yang sebahagian besarnya dimiliki oleh Sarawak, bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk hubungan perniagaan Malaysia-Jepun dan transformasi hijau.

Motohide Okuda, Ketua Pegawai Eksekutif MUFG Malaysia dan Ketua Negara bagi Malaysia berkata: “Sokongan MUFG terhadap aspirasi pertumbuhan Sarawak sejajar dengan komitmen kami yang lebih luas terhadap Malaysia. Kami berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran dalam pembiayaan ESG serta rangkaian serantau bagi memperkukuh kerjasama yang dapat menyokong matlamat Sarawak dalam pembangunan mampan dan inovasi hijau.

“Persidangan MUFG N0W kali ini membuktikan keupayaan kami dalam menghubungkan teknologi terbaik dari Jepun dengan kekayaan sumber tenaga hijau di Malaysia bagi membuka peluang pertumbuhan baharu yang lebih menarik. Kami bergerak seiring dengan Visi Kelestarian Sarawak 2030 dan akan terus memudahkan perkongsian awam-swasta untuk mencipta masa depan yang lebih inklusif dan cerah bagi Jepun, Malaysia dan Asia.”

JUST IN 

SEARCH 

ADVERTISEMENT 

OUR CATEGORIES